Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Impian seorang gadis untuk bekerja bagi membantu keluarga selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu tidak kesampaian apabila dia kini terlantar kerana menghidap kanser buah pinggang tahap empat.

Nur Ayu Mas Aiza Abdul Aziz, 18, disahkan menghidap kanser itu pada November tahun lalu dan kini sel kanser itu merebak sehingga mengganggu saluran pemakanannya sehingga dia tidak dapat bergerak.

Katanya, dia mengalami sakit pinggang teruk sehingga tidak dapat tidur setiap hari selain kencing berdarah sebelum mendapatkan rawatan di sebuah klinik di Jalan Datuk Kumbar, di sini.

"Tapi ketika itu doktor tak dapat kesan apa-apa dan hanya beri ubat tahan sakit, namun sakit pinggang bertambah teruk dan buat ujian ultrasound di klinik swasta.

"Doktor kemudian meminta saya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk pemeriksaan lanjut dan disahkan menghidap kanser buah pinggang tahap empat," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Sekawan, Mukim Tajar di sini.

Nur Ayu berkata, kini dia terlantar di rumah dan doktor memaklumkan rawatan kemoterapi tidak sesuai malah kanser yang dihidapinya juga sudah di tahap empat.

Katanya, dia hanya mampu makan dua sudu bubur setiap hari kerana jika makan terlalu banyak, dia akan muntah.

SARUNAM mengelap tangan anaknya, Nur Ayu Mas Aiza yang menghidap kanser buah pinggang tahap empat di rumah mereka di Kampung Alor Sekawan, Mukim Tajar. FOTO Zuliaty Zulkiffli
SARUNAM mengelap tangan anaknya, Nur Ayu Mas Aiza yang menghidap kanser buah pinggang tahap empat di rumah mereka di Kampung Alor Sekawan, Mukim Tajar. FOTO Zuliaty Zulkiffli

"Hasil ujian pemeriksaan yang dilakukan mendapati hati, jantung dan paru-paru saya sudah bengkak dan keras di bahagian perut.

"Saya kini dijaga sepenuhnya oleh ibu (Sarunam Adnan, 55) di rumah walaupun dia menghidap masalah batu karang serta kencing manis.

"Ayah (Abdul Aziz Jaafar, 51) pula bekerja sebagai buruh di Langkawi dan pendapatan tidak menentu bergantung pada permintaan," katanya.

Menurutnya, keadaannya menyebabkan bapanya terpaksa menghabiskan wang untuk kos ulang alik ke hospital selain membeli barangan kelengkapan peribadinya termasuk susu formula khas.

Katanya, dia memang berhasrat untuk bekerja kerana kasihan melihat ibunya yang sering sakit akibat kencing manis.

"Sepatutnya saya yang bekerja, tak kisah kerja apapun asalkan dapat bantu ibu tapi sekarang dia pulak kena jaga saya," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada Nur Ayu boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank kakaknya 557438545572 (Nur Ayu Shadira Abdul Aziz).

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM) Zuraini Kamal yang menziarahi pesakit itu menyalurkan sumbangan wang tunai, barangan dapur, susu formula khas serta sokongan moral kepada pesakit itu.

Beliau berkata, pihaknya turut menghantar katil pesakit serta kerusi roda untuk kegunaan Nur Ayu.

"Kita akan beri sokongan moral pada pesakit supaya dia hidup gembira dan sentiasa menjalani rawatan di hospital meskipun sel kansernya sudah merebak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2023 @ 11:04 AM