GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Agensi

Abu Dhabi: Seorang individu di Al Ain berjaya menjalani pembedahan kompleks selama 11 jam untuk mengeluarkan tumor pada buah pinggangnya.

Ketika pembedahan, pakar mengeluarkan organ itu dari pesakit yang hanya memiliki satu buah pinggang berkenaan.

Selepas tumor pada buah pinggang itu dibuang, doktor kemudian memasukkan organ itu kembali ke dalam badan pesakit.

Gulf News melaporkan Ali Shamsi yang dilahirkan dengan satu buah pinggang itu disahkan menghidap kanser pada usia 60-an.

Doktor kemudiannya memutuskan kaedah terbaik adalah dengan menjalankan prosedur yang amat rumit itu.

Terdahulu, Ali dikesan menghidap kanser apabila dia mengunjungi Klinik Cleveland Abu Dhabi untuk menjalani pemeriksaan selepas dia mengalami sakit dada.

Hospital itu menjadi satu-satunya yang berjaya membuat pemindahan buah pinggang, jantung, paru-paru dan hati sejak 2017.

Selepas mendaftar dalam program berhenti merokok di hospital, Ali menjalani pelbagai ujian yang kemudian mengesahkan kanser pada buah pinggangnya.

"Saya terkejut kerana pergi ke hospital untuk menyertai program berhenti merokok dan tiba-tiba disahkan menghidap kanser.

"Saya berhasrat untuk melancong namun terpaksa ditangguhkan dengan hanya terus berada di sini," kata Ali.

Dia juga bernasib baik kerana hasil pemeriksaan lanjut mendapati sel kanser masih belum merebak ke organ lain.

Doktor memaklumkan sel kanser itu berada di bahagian yang dalam pada buah pinggangnya.

Prosedur itu dibuat walaupun ia terletak di tempat yang dianggap mustahil.

Dr Waleeh Hassan yang mengetuai Init Pembedahan Urologi berkata, jika buah pinggang Ali dikeluarkan, ia menyebabkan lelaki itu terpaksa bergantung sepenuhnya kepada mesin dialisis sehingga menemui penderma yang sesuai.

Oleh itu katanya, pihaknya berpendapat bahawa prosedur itu paling sesuai untuk pesakit berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 6:30 AM