Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: "Wang simpanan yang ada sudah berkurangan sejak suami terlantar sakit akibat kanser tahap empat yang dihidapinya beberapa bulan lalu.

"Kini kami sekeluarga hanya bergantung dengan hasil menjual ikan keli Afrika di kolam peliharaan suami di depan rumah untuk menyara persekolahan dan makan minum kami," kata Nor Aza Hamzah.

Nor Aza, 40, berkata, lebih merisaukannya apabila kanser yang dihidapi suaminya, Mohd Asri Zakaria, 49, sudah merebak ke beberapa organ badan termasuk limpa dan paru-parunya malah berat badannya yang dulunya 58 kilogram (kg) kini susut sehingga 48 kg.

Menurutnya, suaminya kini hanya berbaring di atas katil kerana sudah tidak berdaya untuk bergerak disebabkan kanser yang dialaminya merebak dengan cepat.

Katanya, mereka yang menetap di rumah ibu mentuanya di Kampung Padang Sejana, Mukim Titi Gajah hanya bergantung pada hasil menjual ikan keli Afrika di kolam ikan peliharaan yang sebelum ini diusahakan suaminya sebelum ini.

NOR Aza Hamzah mengelap kepala suaminya, Mohd Asri Zakaria yang menghidap kanser buah pinggang tahap empat. FOTO Zuliaty Zulkiffli
NOR Aza Hamzah mengelap kepala suaminya, Mohd Asri Zakaria yang menghidap kanser buah pinggang tahap empat. FOTO Zuliaty Zulkiffli

"Wang itu digunakan untuk makan minum dan perbelanjaan harian kami termasuk persekolahan dua anak yang berusia lapan dan sembilan tahun.

"Setiap pagi saya akan menghantar dua anak, Aqil Amjad Mohd Asri, 9, dan Aina Aqila, 8 belajar di sekolah agama di Kubang Pasu dengan menunggang motosikal dan selepas itu saya akan menguruskan suami dengan mengelap badan serta beri dia minum serta makan," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Menurut Nor Aza, anak ketiganya, Alim Ajwad, 4, pula disahkan menghidap autisme sejak lahir dan memiliki kad orang kurang upaya (OKU) serta anak bongsu, Aimy Maryam, 12 bulan.

Katanya, suaminya tidak dapat melakukan rawatan kimoterapi kerana kanser yang dihidapinya sudah merebak.

"Suami perlu mendapatkan rawatan susulan setiap dua minggu sekali di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan biasanya saya akan minta adik tolong bawakan atau sewa teksi untuk ke sana.

"Namun saya tidak dapat menjaga suami di wad kerana anak bongsu menyusu badan selain menguruskan tiga lagi anak yang masih kecil," katanya.

Menurutnya lagi, dia buntu kerana wang simpanan yang disimpan suami sebelum ini tinggal sedikit kerana habis digunakan untuk perbelanjaan harian.

Sehubungan itu, orang ramai yang menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian boleh menghubunginya di talian 017-4935859.

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM) Zuraini Kamal yang mengunjungi pesakit itu hari ini menghulurkan bantuan barangan makanan termasuk susu formula khas untuk Mohd Asri.

Katanya, pihaknya turut memberi sokongan moral kepada pesakit itu supaya dia terus menjalani rawatan susulan serta kuat walaupun menghidap penyakit itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 12:02 PM