ANGGOTA bomba membantu menyelamat dan memindahkan mangsa banjir di Kampung Pasir, Temoh. FOTO Ihsan Bomba.
ANGGOTA bomba membantu menyelamat dan memindahkan mangsa banjir di Kampung Pasir, Temoh. FOTO Ihsan Bomba.
Rosman Shamsudin


Tapah: Seramai 12 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chenderiang, di sini selepas kediaman mereka di Kampung Pasir, Temoh, dekat sini dilanda banjir, malam ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihak bomba menerima maklumat pada 7.32 malam.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah dibantu BBP Kampar dikejarkan ke tempat kejadian.

"Tiba di kawasan kejadian banjir mendapati kawasan kampung terbabit digenangi air kira-kira satu meter.

"Sebanyak 27 rumah dimasuki air menyebabkan 37 mangsa dari 12 keluarga terpaksa dipindahkan ke PPS di SMK Chenderiang," katanya dalam kenyataan malam ini.

Jurucakap JBPM berkata, pihak bomba menggunakan bot dan kenderaan pacuan empat roda untuk menyelamat dan memindahkan mangsa banjir di kawasan kampung terbabit.

Terdahulu, kira-kira 7.14 malam, pihak bomba turut menerima laporan kejadian banjir kilat di kawasan perumahan dekat Jalan Tapah Road dan Jalan Saujana Indah.

Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota bomba dari BBP Bidor dikejarkan ke lokasi kejadian.

Bagaimanapun, kejadian tidak membabitkan pemindahan mangsa dan operasi pemantauan terus dilakukan secara berkala.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 12:41 AM