KEADAAN Kampung Kelah Baru, Sungkai yang dinaiki air akibat kejadian banjir kilat. FOTO Ihsan JBPM
KEADAAN Kampung Kelah Baru, Sungkai yang dinaiki air akibat kejadian banjir kilat. FOTO Ihsan JBPM
Rosman Shamsudin


SERAMAI 26 orang penduduk termasuk seorang bayi lelaki dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) akibat kejadian banjir kilat di Kampung Kelah Baru, dekat Sungkai, malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata pihak bomba menerima maklumat berhubung kejadian banjir kilat itu kira-kira 11.38 malam.

Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor dan dibantu BBP Slim River dikejarkan ke tempat kejadian.

"Mangsa terdiri lelaki dewasa seramai enam orang, perempuan dewasa (9 orang), kanak-kanak lelaki (4 orang), kanak-kanak perempuan (6 orang) dan termasuk seorang bayi lelaki.

"Hujan lebat menyebabkan kawasan kampung dinaiki air kira-kira satu meter dan semua mangsa terbabit dipindahkan ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Keruit, Sungkai," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata semua mangsa banjir kilat yang membabitkan 6 buah keluarga itu selamat dipindahkan ke PPS dan jarak antara kampung dengan PPS kira-kira satu kilometer (km) sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2020 @ 9:20 AM