SULTAN Ibrahim ketika menerima menghadap Mohamad, Azalina dan Zambry. FOTO Ihsan RPO.
SULTAN Ibrahim ketika menerima menghadap Mohamad, Azalina dan Zambry. FOTO Ihsan RPO.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, berkenan menerima persembahan laporan terkini Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, hari ini.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap tiga Menteri Persekutuan di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, di sini, hari ini, berhubung isu Batu Puteh.

Menteri berkenaan adalah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang & Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Pertemuan bersama Sultan Ibrahim itu berlangsung selama hampir dua jam.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Tetamu-tetamu kehormat turut diraikan dalam satu majlis santapan tengah hari bersama Sultan Johor.

Pada 13 Disember lalu, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dilaporkan diminta mengadakan rundingan dengan Kerajaan Singapura membabitkan kontroversi tuntutan terhadap Batu Puteh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata mesyuarat Kabinet Disember lalu sudah meminta Idrus meneliti semula dan mengkaji isu berbangkit terhadap pulau yang kini sudah diserahkan kepada negara jiran itu oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebelum ini.

Kata Perdana Menteri, ia supaya rundingan lebih bermakna dan segera dapat dijalankan dengan Singapura.

Batu Puteh ialah sebuah batu tunggal kira-kira 7.7 batu nautika (14 km), selatan Tanjung Penyusup, Johor dan 25 batu nautika (44 km) timur Singapura.

Ia kini menjadi milik Singapura, susulan pertikaian dibawa Malaysia dan Singapura ke ICJ pada 2003.

ICJ pada 2008 memutuskan Batu Puteh adalah milik Singapura.

Baru-baru ini dalam penulisan oleh Azalina di BH, beliau menyatakan Batu Puteh yang terletak di pintu masuk timur Selat Singapura, mempunyai rumah api, helipad, loji penyahgaraman dan lebih penting lagi stesen penyiaran semula tentera.

Sebelum ini dilaporkan ada penemuan tiga dokumen di National Archives of the United Kingdom antara 4 Ogos 2016 dan 30 Januari 2017 yang mendorong Malaysia memohon semakan semula keputusan ICJ berhubung Batu Puteh pada 2 Februari 2017 di bawah pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ia termasuk surat-menyurat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada 1958, laporan mengenai satu kejadian difailkan seorang pegawai tentera laut Britain pada 1958 dan satu peta berserta catatan mengenai operasi tentera laut dari tahun 1960-an yang memperakukan Batu Puteh tidak menjadi sebahagian daripada wilayah berdaulat Singapura dalam tempoh berkenaan.

Bagaimanapun, pada 11 Jun 2018, kerajaan Pakatan Harapan membuat keputusan untuk tidak meneruskan permohonan semakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2023 @ 5:21 PM