Kuala Lumpur: Surat kepada pegawai kanan penjajah British pada 1958, kejadian membabitkan kapal British pada tahun yang sama dan peta Singapura pada 1996 adalah menjadi bukti terbaru dikemukakan Malaysia dalam tuntutannya terhadap Pulau Batu Puteh kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Menurut laporan South China Morning Post (SCMP), Malaysia menyatakan dokumen terbabit yang difailkan pada 3 Februari lalu, membuktikan pulau berkenaan miliknya selepas mahkamah memutuskan pada 2008 ia milik Singapura .

Telegram pada 1958 yang dihantar Gabenor Singapura ketika itu kepada Setiausaha Negara (untuk negara jajahan) di London, menyatakan beliau “tidak menganggap Pedra Branca (Pulau Batu Puteh) sebahagian wilayah Singapura”.

Gabenor itu mencadangkan koridor laluan antarabangsa hanya ‘satu batu (1.6km) dari Pulau Batu Puteh’.

Dokumen kedua yang menurut SCMP ia melihat dokumen difailkan Malaysia, ialah kejadian membabitkan kapal British yang ditugaskan mengawal perairan Singapura ‘tidak menganggap kawasan sekitar Pulau Batu Puteh sebagai milik Singapura’.

Menurut laporan kejadian itu yang dihantar kepada Gabenor Singapura, kapal British tidak boleh membantu satu vesel Malaysia yang dikejar bot bersenjata ‘kerana vesel itu masih berada dalam perairan Johor’.

Dokumen ketiga ialah peta pada 1962 namun bertarikh Februari 1966 menunjukkan perairan Singapura ‘tidak termasuk Pulau Batu Puteh.’

Malaysia menyatakan ia melakukan penyelidikan di arkib Britain antara 4 Ogos tahun lalu, hingga 30 Januari tahun ini.

Kerajaan Malaysia pada 2 Februari lalu, memfailkan permohonan bagi semakan keputusan ICJ dalam kes kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, permohonan itu dibuat selepas Malaysia menemui beberapa fakta baru yang menjadi faktor penentu, yang sebelum itu, apabila penghakiman disampaikan, fakta berkenaan tidak diketahui oleh mahkamah dan juga Malaysia sebagai pihak yang memohon semakan.

Beliau berkata, permohonan Malaysia untuk semakan penghakiman ialah kesinambungan proses yang dimulakan pada 9 Mei, 2003 oleh Malaysia dan Republik Singapura, apabila kedua-dua negara bersetuju untuk merujuk pertikaian berhubung kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh (Pedra Branca), Batuan Tengah dan Tubir Selatan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (“Perjanjian khas”).

Pada 23 Mei, 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh manakala Batuan Tengah milik Malaysia, Tubir Selatan menjadi milik negara di perairan mana pulau itu terletak.

Pulau Batu Puteh terletak 7.7 batu nautika dari pantai Tanjung Penyusuh, Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2017 @ 12:51 PM