SULTAN Ibrahim berkenan menerima menghadap Wan Junaidi bagi membincangkan isu Batu Puteh, di Istana Pasir Pelangi, hari ini. FOTO Ihsan RPO
SULTAN Ibrahim berkenan menerima menghadap Wan Junaidi bagi membincangkan isu Batu Puteh, di Istana Pasir Pelangi, hari ini. FOTO Ihsan RPO
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menerima menghadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, hari ini.

Pertemuan itu berlangsung lebih sejam di Istana Pasir Pelangi, di sini, dengan perbincangan tertumpu kepada isu Batu Puteh.

Hadir sama pada pertemuan itu, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr Abdul Rahim Ramli.

Minggu lalu, Sultan Ibrahim dilaporkan bertitah, tindakan mesti diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab jika benar ada pihak yang melakukan kecuaian dan kekhilafan dalam tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran undang-undang kes Batu Puteh.

Sultan Ibrahim dilaporkan bertitah, baginda mahukan penjelasan di sebalik tindakan kerajaan ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2018 untuk tidak meneruskan permohonan semakan ke atas penghakiman kes Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Pada 9 Oktober lalu, Kabinet mencapai persetujuan supaya pasukan petugas khas diwujudkan bagi tujuan semakan semula undang-undang berkenaan isu Batu Puteh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan berkata pasukan petugas khas itu akan membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.

Beliau dipetik berkata, usaha itu bertujuan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berkenaan kes Batu Puteh.

Pada 10 Oktober lalu pula, Kerajaan Johor dilaporkan memberi jaminan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu Kerajaan Persekutuan mendapatkan pelbagai dokumen dan pandangan yang diperlukan, bagi semakan semula undang-undang berkenaan isu Batu Puteh atau Pedra Branca.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, dilaporkan berkata kerajaan negeri juga bersetuju dan akan memberikan sokongan penuh berkenaan tindakan undang-undang di bawah 'tort of misfeasance' ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kecuaian dan kekhilafan, kerana tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 2:10 PM