PULAU Batu Puteh. FOTO/FAIL
PULAU Batu Puteh. FOTO/FAIL
Manirajan Ramasamy; Irwan Shafrizan Ismail dan Mohd Nasarudin Parzi


TUN Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menarik diri dari semakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai kedaulatan Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh.

Perdana Menteri berkata, perkara itu sedang difikirkan oleh kerajaan.

“Sebenarnya kita telah diberikan Batuan Tengah, di situ sudah ada struktur bangunan, jadi kita juga ada niat untuk membesarkan Batuan Tengah supaya dapat membentuk sebuah pulau kecil untuk kita,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Putrajaya, hari ini.

Ditanya sama ada Malaysia akan menarik diri dari kes berkenaan, beliau berkata: “Kita akan pertimbang perkara itu.”

Sebelum ini, ICJ dalam satu kenyataan media menerusi laman sesawangnya pada 5 April lalu berkata, pihaknya akan mengadakan pendengaran awam berhubung permohonan Malaysia bagi interpretasi penghakiman ICJ mengenai kedaulatan Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh, dari 18 hingga 22 Jun di Peace Palace, The Hague, Belanda.

ICJ menyatakan Malaysia akan memulakan pusingan pertama hujah lisan mulai jam 3 hingga 6 petang pada 18 Jun, manakala giliran Singapura pada waktu sama 19 Jun.

Pusingan kedua hujah lisan oleh Malaysia diadakan pada 10 hingga 11.30 pagi pada 21 Jun, manakala giliran Singapura mulai jam 3 hingga 4.30 petang pada 22 Jun.

Pada 2 Februari tahun lalu, Malaysia memfailkan semakan keputusan ICJ berhubung wilayah maritim itu dan memetik bahawa United Kingdom mengubah status tiga dokumen untuk menyokong permohonan itu, baru-baru ini.

Dokumen berkenaan ialah surat-menyurat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada 1958, laporan mengenai satu kejadian difailkan seorang pegawai tentera laut Britain pada 1958 dan satu peta berserta catatan operasi tentera laut dari tahun 1960-an.

Dokumen itu yang tidak diketahui oleh ICJ mahupun Malaysia ketika penghakiman pada 2008, ditemui di National Archives of the United Kingdom antara 4 Ogos 2016 dan 30 Jan 2017.

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh, manakala Malaysia memiliki Batuan Tengah (Middle Rocks) dan Tubir Selatan (South Ledge) pula menjadi milik negara di perairan di mana pulau itu terletak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mei 2018 @ 4:32 PM