Kuala Lumpur: Pelawak popular, Shuib, 38, berbesar hati apabila Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah berkenan menerima koleksi tudung yang diusahakan Allahyarham isterinya, Siti Sarah Raissuddin sebelum ini.

Shuib berkata, pemberian itu adalah rasa terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong yang menzahirkan ucapan takziah atas pemergian isterinya pada Ogos tahun lalu.

"Berbesar hati apabila Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah berkenan menerima pemberian Loveta ketika bertemu di Tunku Azizah Golf Challenge 2022.

"Pemberian ini juga adalah sebagai titipan rasa terima kasih saya kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong yang menzahirkan ucapan takziah atas pemergian isteri tercinta saya Siti Sarah pada tahun lalu.

"Selama ini, saya sangat kagum dengan Raja Permaisuri yang sopan, prihatin dan sangat mesra rakyat. Pengalaman di Tunku Azizah Golf Challenge 2022 akan menjadi kenangan manis yang akan sentiasa tersemat dalam fikiran saya. Junjung kasih Raja Permaisuri Agong," tulisnya dalam satu hantaran di Instagram.

Dalam masa sama, ibu tiri Allahyarham Siti Sarah, Siti Fatimah Suberi, 34, berkata, arwah begitu mengagumi Raja Permaisuri Agong dan pernah berhasrat untuk bertemu tetapi tidak kesampaian.

"Ti (panggilan Siti Sarah), mesti kau tengah senyum sekarang ini kan. Alhamdulillah Ya Allah. Junjung kasih Raja Permaisuri Agong sudi menerima Loveta.

"Kalau arwah ada mesti dia gembira sangat sekarang ini. Dia dah lama simpan hasrat nak bagi sendiri kat Raja Permaisuri Agong tapi tak kesampaian. Dia sangat mengagumi Raja Permaisuri. Ti, Shuib dah lunaskan hasrat kau Ti. Alhamdulillah," tulisnya di ruangan komen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Februari 2022 @ 4:02 PM