ANZALNA jadi wajah baharu untuk tudung jenama Loveta milik Allahyarham Siti Sarah.
ANZALNA jadi wajah baharu untuk tudung jenama Loveta milik Allahyarham Siti Sarah.
Najiy Jefri


KEAYUAN aktres jelita Anzalna Nasir selepas tampil berhijab sejak September tahun lalu semakin terserlah dan meraih perhatian ramai.

Rata-rata peminat menyambut baik perubahan yang dilakukan aktres berusia 34 tahun itu dan berharap Anzalna terus istiqamah.

Bagaimanapun, Anzalna memberitahu dia perlu sedikit masa lagi untuk memadamkan foto-foto lama tidak menutup aurat yang dimuat naiknya di laman sosial.

Anzalna berkata, dia tidak berniat untuk mengekalkan foto tidak bertudung di Instagram, sebaliknya terikat dengan beberapa kontrak yang memerlukan foto itu kekal untuk tempoh tertentu.

"Apabila sudah bertudung, saya pasti sesiapa saja mahu perubahan itu menjadi ke arah lebih baik.

"Dalam usaha untuk berubah bukan senang nak berlaku sekelip mata. Sebenarnya bukan saya sengaja tak nak padam gambar tak bertudung, tapi masih ada kontrak dengan beberapa produk.

"Apabila sudah sampai masa, saya akan padam gambar lama itu kerana tiada masalah untuk berbuat demikian.

"Sebaik saja sudah bertudung, semua perkara kena jaga, tetapi perlu dilakukan perlahan-lahan untuk berubah. Apapun, dimohon doakan saya supaya istiqamah," katanya pada majlis pelancaran koleksi terbaharu, Loveta X Anzalna di ibu kota.

Tambah pemilik nama sebenar Nur Anzalna Md Nasir ini, dia juga tidak menyangka dihujani rezeki yang melimpah-ruah sejak dirinya bertudung.

Kata ibu kepada seorang cahaya mata ini, dia bersyukur apabila rezekinya dan keluarga semakin murah oleh Yang Esa.

"Alhamdulillah saya sangat bersyukur dengan apa yang saya miliki dan lakukan sekarang. Saya akui terkejut apabila semakin banyak tawaran, cuma saya terpaksa tolak kerana niat saya bertudung bukan untuk mencari duit.

"Saya juga bersyukur diberikan rezeki dalam rumah tangga, kebahagiaan dan dikelilingi orang-orang baik,"' katanya lagi.

Karier lakonan

Beralih mengenai aktiviti seni, Anzalna berkata, buat masa ini dia terpaksa memperlahankan kerjayanya bagi memberi tumpuan terhadap pembesaran anak.

Katanya, dia merancang untuk kembali ke set penggambaran selepas anaknya, Mohamad Eidrees yang kini berusia dua tahun memahami mengenai kerjayanya sebagai pelakon.

"Saya mahu habiskan masa berharga dengan anak. Dia sekarang ini memang rapat dengan saya dan suami.

"Tawaran berlakon masih banyak yang datang, namun saya terpaksa tolak dan perlahankan dulu demi keluarga.

"Biar anak saya faham dulu kerja ibunya sebagai pelakon. Bila dah bersedia nanti saya akan kembali ke set penggambaran," katanya.

Tudung Loveta

Ditanya mengenai kerjasama dengan jenama Loveta, Anzalna berkata, dia sanggup menolak tawaran menjadi duta produk tudung lain demi terbabit dengan kempen Loveta X Anzalna yang sebelum ini diusahakan oleh Allahyarham Siti Sarah.

Kata Anzalna, ketika hayat Siti Sarah masih ada, arwah pernah beberapa kali mahu melamarnya untuk bekerjasama dengan produk kosmetik keluarannya.

Namun, hasrat berkenaan tidak kesampaian sehingga penyanyi itu menghembuskan nafas terakhir pada 9 Ogos tahun lalu selepas melahirkan anak keempat, Ayash Affan dalam keadaan dijangkiti virus Covid-19.

"Arwah Siti Sarah pernah beberapa kali memberi tawaran untuk bekerjasama, tetapi tidak berkesempatan kerana setiap kali tawaran dibuat, saya mesti ada kontrak dengan produk kosmetik lain.

"Tawaran kali ini memang saya tidak boleh tolak, meskipun saya sebenarnya sudah menerima tawaran daripada produk tudung jenama lain, namun terpaksa menolaknya demi menjadi sebahagian daripada keluarga Loveta," katanya.

Tambah Anzalna, hatinya terbuka untuk bekerjasama dengan kempen Loveta X Anzalna kerana mahu membantu mengembangkan legasi yang ditinggalkan oleh arwah Siti Sarah.

"Mulanya agak sukar untuk saya menerima lamaran ini. Jujur saya ambil masa juga untuk fikir semasaknya sebelum buat keputusan terima tawaran kerjasama dengan perniagaan milik arwah Siti Sarah ini.

"Arwah meninggalkan legasi yang cukup besar ketika hayatnya. Jadi, saya bimbang jika kehadiran saya kurang disenangi dan akan dimarahi peminat arwah.

"Namun, syukur rata-ratanya menyambut baik dan gembira dengan pengumuman yang dibuat. Saya berharap kehadiran saya akan membawa jenama Loveta ke peringkat yang lebih tinggi lagi," katanya.

Menerusi kempen Loveta X Anzalna, jenama tudung itu memperkenalkan Anzalna Shawl yang berkonsep 'shawl semi instant' tampil dengan 11 koleksi warna menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 6:00 AM