GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Asrol Awang


Kuantan: Seramai 802 Ketua Isi Rumah (KIR) yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) ketika banjir melanda Pahang baru-baru ini, bakal menerima RM1,000 setiap keluarga.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata ia diputuskan kerajaan negeri menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang bermesyuarat hari ini untuk menyalurkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa banjir.

Katanya, bantuan berkenaan disalurkan kepada 802 KIR yang berpindah ke PPS dengan setiap KIR akan menerima RM1,000.

"Bantuan ini akan diserahkan kepada penerima selewat-lewatnya pada 16 Februari ini.

"Bantuan ini adalah peruntukan awal yang disalurkan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berjumlah RM1 juta kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Rosdy berkata, sepanjang tempoh Monsun Timur Laut yang berlaku baru-baru ini, tujuh daerah di Pahang terbabit dengan kejadian banjir.

Katanya, daerah berkenaan ialah Lipis, Jerantut, Raub, Temerloh, Bera, Kuantan dan Pekan.

"Saya harap mereka yang menerima BWI dapat menggunakan sumbangan ini untuk membeli barang keperluan dan perkakasan bagi mengurangkan beban yang ditanggung.

"Saya juga berdoa semoga kita semua dilindungi oleh Allah SWT daripada segala musibah dan juga bencana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2023 @ 5:34 PM