DATUK Seri Sulaiman Md Ali (dua kiri) menyampaikan sumbangan Bantuan Wang Ihsan (BWI) banjir di Alor Gajah, hari ini. FOTO Amir Mamat
DATUK Seri Sulaiman Md Ali (dua kiri) menyampaikan sumbangan Bantuan Wang Ihsan (BWI) banjir di Alor Gajah, hari ini. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


Alor Gajah: Kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta agensi berkaitan supaya memantau serta membaiki segera jalan awam yang rosak akibat banjir, baru-baru ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, ia berikutan terdapat jalan awam, termasuk jalan raya utama di sekitar Alor Gajah dan Jasin didapati rosak serta membahayakan pengguna akibat ditenggelami banjir.

"Saya meminta pihak bertanggungjawab supaya memantau segera keadaan itu, sekali gus membaikinya bagi memastikan keselamatan pengguna terjamin.

"Saya melihat ia satu keperluan perlu diambil perhatian dan saya harap perkara itu dapat diatasi segera," katanya pada majlis penyampaian Bantuan Wang Ihsan (BWI) banjir di Pejabat Daerah Alor Gajah, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 140 daripada 249 ketua isi rumah (KIR) yang menjadi mangsa banjir dalam Parlimen Alor Gajah, menerima BWI berjumlah RM2,500 setiap seorang.

Bantuan terbabit disalurkan Kerajaan Persekutuan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sebagai tambahan kepada bantuan RM1,000 diterima mangsa, minggu lalu.

Ia membolehkan KIR membeli barangan keperluan termasuk barangan elektrik serta perabot yang rosak akibat ditenggelami air.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 7:12 PM