Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kerajaan akan menyegerakan bantuan awal kepada mangsa banjir kilat di Lembangan Sungai Kupang dan Sungai Tiak, Baling, Kedah, yang menjejaskan 1,490 mangsa membabitkan 112 ketua isi rumah (KIR).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau yang kini dalam lawatan rasmi ke Turki atas jemputan Presiden Tukiye, Recep Tayyip Erdoğan sudah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali untuk menyelaraskan bantuan segera kepada semua mangsa yang terbabit.

"Bantuan awal kepada setiap KIR adalah bantuan wang ihsan (BWI) sebanyak RM1,000; bantuan barang keperluan asas (RM2,500), bantuan barangan elektrik (RM500) dan pembaikan rumah.

"Setiausaha Politik saya, Datuk Mohammad Anuar bersama pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sudah menyampaikan BWI kepada semua KIR hari ini termasuk tiga waris mangsa yang meninggal dunia sebanyak RM10,000 seorang.

"Semua bantuan awal ini membabitkan peruntukan kewangan sebanyak RM500,000," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

KEADAAN di Kampung Iboi selepas dilanda banjir lumpur semalam. FOTO Luqman Hakim Zubir.
KEADAAN di Kampung Iboi selepas dilanda banjir lumpur semalam. FOTO Luqman Hakim Zubir.

Ismail Sabri berkata, kebanyakan rumah yang terkesan dengan musibah ini mengalami kerosakan dan sebanyak 25 rumah musnah sepenuhnya.

Katanya, beliau sudah mengarahkan semua agensi kerajaan yang terbabit untuk mengenal pasti kerosakan dan pembaikan yang perlu dilakukan untuk memastikan mangsa tragedi itu ada tempat berteduh yang selesa selepas ini.

"Bantuan lain akan disusuli dengan segera termasuk kerja pembersihan kawasan dan projek tebatan banjir yang kritikal.

"Kerajaan Persekutuan terus komited untuk menyediakan peruntukan yang sewajarnya bagi perkara ini.

"Saya akan memastikan kebajikan dan keselamatan mangsa ini akan diberi perhatian sepenuhnya dengan kerjasama erat daripada semua pihak baik dari Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri," katanya.

Bencana ini meragut tiga nyawa dan menjejaskan seramai 1,490 mangsa dengan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka iaitu PPS SMK Jerai, PPS Surau An Nur dan PPS SMK Agama Al Khiriah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 7:20 PM