GAMBAR hiasan. Antara kawasan dilanda banjir di Jerantut, 3 Januari lalu. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. Antara kawasan dilanda banjir di Jerantut, 3 Januari lalu. FOTO arkib NSTP
Asrol Awang

am@[email protected]

Kuantan: Kerajaan Pahang bersetuju melanjutkan tempoh pendaftaran kepada mangsa banjir yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga 17 Januari ini.

Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, penerimaan borang mangsa tidak berpindah perlu diserahkan kepada Jawatankuasa Pengurusan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Sehubungan itu, katanya, dijangkakan pembayaran pertama Bantuan Wang Ihsan (BWI) untuk mangsa yang tidak berpindah ke PPS boleh dibuat bermula 24 Januari ini.

"Sehingga 10 Januari lalu, seramai 19,053 ketua isi rumah (KIR) yang berpindah ke PPS dikenal pasti bagi gelombang satu dan gelombang kedua bagi Monsun Timur Laut 2021/2022.

"Oleh itu, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) sudah mengagihkan peruntukan sebanyak RM26.25 juta yang meliputi 17,310 KIR.

"Baki sebanyak 1,743 KIR akan dibuat pembayaran selewat-lewatnya pada 14 Januari ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, memandangkan proses pembayaran masih berjalan, mangsa yang berpindah ke PPS dan masih belum menerima BWI selepas tarikh itu boleh menghubungi PDT berhampiran.

"Bagi mangsa yang tidak berpindah ke PPS, pihak PDT sedang mengemaskini maklumat terbabit dan akan dimuktamadkan selewat-lewatnya pada 17 Januari ini," katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan mengumumkan BWI sebanyak RM1,000 manakala Kerajaan Pahang turut mengumumkan BWI sebanyak RM500 kepada mangsa yang berpindah ke PPS dan terjejas banjir.

Peruntukan itu disalurkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) kepada kerajaan negeri dan pembayaran dibuat oleh PDT.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 11:42 AM