Aizat Sharif

Kangar: Pemerkasaan terhadap kurikulum Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Perpaduan dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Genius Perpaduan di negara ini akan terus ditambah baik bagi memastikan ia terus kekal relevan dalam pembentukan perpaduan masyarakat di negara ini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, selain itu ia diperlukan dalam memastikan tidak wujud pertindihan objektif antara Tabika Perpaduan dan Taska Genius Perpaduan dengan Tabika dan Tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang dikelolakan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

"Saya melihat pemerkasaan ini akan terus dilakukan dari semasa ke semasa terutama dari segi kurikulumnya dan jika dilihat jurang perbezaan kurikulum antara Tabika dan Taska Genius Perpaduan dengan tabika atau tadika swasta serta kendalian Kementerian Luar Bandar adalah sangat kecil dan sedikit.

"Walaupun, Tabika dan Tadika Kemas dilihat sudah banyak diwujudkan dalam setiap daerah di negara ini, Tabika Perpaduan dan Taska Genius Perpaduan yang sudah diwujudkan sejak bertahun dulu juga kini semakin banyak yang diwujudkan.

"Malah, kita juga sedang mempertimbangkan untuk memajukan dan mengembangkan lagi peranan Tabika Perpaduan dan Taska Genius Perpaduan di masa hadapan bagi memastikan pendidikan dan perpaduan dapat bergerak seiring dan terus relevan pada masa kini," katanya.

 AARON Ago Dagang (tengah) merasmikan Majlis Perjumpaan dan Amanat Menteri Perpaduan bersama warga Kementerian dan Agensi Negeri Kedah dan Perlis. FOTO Bernama.
AARON Ago Dagang (tengah) merasmikan Majlis Perjumpaan dan Amanat Menteri Perpaduan bersama warga Kementerian dan Agensi Negeri Kedah dan Perlis. FOTO Bernama.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan amanatnya sempena Majlis Perjumpaan dan Amanat Bersama Menteri Perpaduan Negara di Dewan 2020, di sini hari ini.

Katanya, terdapat 1,781 Tabika Perpaduan dan 41 Taska Genius Perpaduan yang beroperasi di seluruh negara pada waktu ini.

"Tidak wujud pertindihan dari segi kurikulum yang diajarkan oleh Tabika Perpaduan dan Taska Genius Perpaduan dengan tadika dan tabika milik kementerian yang lain.

"Namun, seperti yang kita katakan ia akan terus diperkasakan dari sudut kurikulum dari semasa ke semasa bagi memastikan kanak-kanak yang bersekolah di tempat ini tidak ketinggalan dan dalam masa yang sama juga perpaduan dalam kalangan mereka juga dapat disemai mulai kecil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 9:38 PM