DATUK Halimah Mohamed Sadique (tengah) beramah mesra dengan murid dan guru taska pada sesi lawatan kerja di Taska Genius Perpaduan, Taman Universiti, Skudai. FOTO Mohd Azren Jamaludin
DATUK Halimah Mohamed Sadique (tengah) beramah mesra dengan murid dan guru taska pada sesi lawatan kerja di Taska Genius Perpaduan, Taman Universiti, Skudai. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Nurul Amanina Suhaini


KIRA-KIRA 38,000 kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun akan memulakan sesi persekolahan di 1,781 Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) perpaduan seluruh negara mulai esok.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, kerajaan turut menyalurkan peruntukan RM2.447 juta sebagai persiapan pembukaan termasuk peralatan prosedur operasi standard (SOP).

"Persetujuan bagi mengguna pakai pembukaan 41 Taska (Taman Asuhan Kanak-kanak) Genius Perpaduan adalah pada 16 Jun lalu manakala Tabika Perpaduan adalah pada 1 Julai ini.

"Ini antara pusat pendidikan awal kanak-kanak, Taska kita buka lebih awal untuk memberi ruang kepada ibu bapa dengan cara beri kemudahan penjagaan anak-anak terutama yang berusia bawah empat tahun," katanya ditemui pada sesi lawatan kerja di Taska Genius Perpaduan, Taman Universiti, Skudai hari ini.

Menurut beliau, selain kementerian, pihaknya turut berharap supaya ibu bapa juga bertanggungjawab secara bersama seperti menyediakan kelengkapan selain memastikan anak sihat.

Halimah berkata, pihaknya berpuas hati dengan kesiapsiagaan pematuhan SOP yang dilaksanakan oleh Taska dan Tabika termasuk peranan pendidik serta ibu bapa.

"Kementerian dapat lihat, apabila kita sediakan SOP, perlu tentukan SOP ini boleh dan mudah dipatuhi kerana kita tidak mahu SOP besar-besar atau 'perfect' sedangkan SOP itu tidak dapat dilaksanakan disebabkan beberapa halangan," katanya.

Dalam pada itu, Halimah berkata, pihaknya dalam perancangan membuat penilaian semula meliputi naik taraf kemudahan, silibus Tabika dan Taska, nutrisi pemakanan, bahan pembelajaran serta alatan permainan yang sesuai sebagai satu interaksi pembelajaran anak-anak.

"Ini antara yang dipertimbangkan dalam jawatankuasa yang saya tubuhkan, saya tugaskan kepada timbalan menteri untuk melihat kepada perkara yang berkaitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 2:36 PM