GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Putrajaya: Semua Tabika Perpaduan (TP) dan Taska Genius Perpaduan (TGP) di daerah Johor Bahru dan Kulai, Johor ditutup bermula esok hingga 14 November ini, susulan pengisytiharan Johor Bahru sebagai zon merah pandemik Covid-19.

Menurut kenyataan Kementerian Perpaduan Negara hari ini, penutupan itu membabitkan 60 TP dan satu TGP dengan 1,507 kanak-kanak dan 124 tenaga pengajar.

Senarai kesemua tabika dan taska terbabit boleh didapati menerusi laman Facebook rasmi kementerian, demikian menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Menterinya Datuk Halimah Mohamed Sadique mengingatkan semua agensi di bawah kementeriannya yang berada di zon merah supaya mematuhi protokol kesihatan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara serta arahan kerajaan negeri.

"Kementerian Perpaduan Negara menasihati semua kakitangan, jentera perpaduan dan orang ramai supaya sentiasa patuh kepada SOP dan mengamalkan norma baharu seperti pemakaian pelitup muka, memastikan penjarakan fizikal dan sentiasa membersihkan tangan terutamanya ketika berada di tempat awam," katanya dipetik oleh kenyataan itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 11:15 AM