Mahaizura Abd Malik


IBU bapa yang bekerja kini dapat menarik nafas lega apabila kerajaan membenarkan baki 6,696 Taman Asuhan Kanak-Kanak (taska) di seluruh negara beroperasi semula.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihak pengurusan taska terbabit harus merujuk prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, kerajaan memutuskan kebenaran itu selepas melihat kekangan ibu bapa bekerja dan ada antara mereka dipaksa majikan terutama sektor swasta cuti tanpa gaji untuk menjaga anak kecil mereka.

"Isu ini seperti yang saya kata mereka (majikan) tidak boleh buat seperti itu tetapi ada juga lakukan.

"Untuk selesaikan isu itu, kita sebenarnya sudah setuju membenarkan, cuma waktu itu hanya (ada) SOP asas taska, itu sahaja, daripada 7,000 taska hanya 304 saja beroperasi kerana tiada SOP diperkemaskan.

"Hari ini kita setuju selepas KPWKM membentangkan SOP yang kita anggap lengkap dan kemas seperti yang dicadangkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan sebagainya.

"Oleh itu, 6,696 baki taska lagi kita benarkan mereka beroperasi mulai sekarang dengan merujuk SOP melalui laman web kementerian itu dan JKM," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Mengenai cadangan pembukaan semula operasi tabika dan pra sekolah yang dicadangkan Julai nanti, beliau berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dipertanggungjawabkan untuk menyelaras SOP semua taman bimbingan berkenaan.

"Tabika Kemas di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Tabika Perpaduan (Kementerian Perpaduan) dan pra sekolah (KPM), jadi Mesyuarat Khas Menteri-Menteri bersetuju KPM penyelaras tadika itu.

"Mesti cadangkan SOP untuk diselaraskan di semua tabika dan tadika di bawah kementerian berbeza ini.

"Kita akan tunggu mereka bentang SOP lengkap, kalau boleh buka Julai kita benarkan tetapi perlu lihat SOP itu dahulu," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO Zunnur Al Shafiq
GAMBAR hiasan. FOTO Zunnur Al Shafiq

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 3:21 PM