Omar Ahmad


Johor Bahru : Isu berbaur perkauman di negara ini tidak berada pada tahap serius sehingga boleh mengganggu gugat keamanan negara.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, hanya sebilangan kecil pihak saja yang membuat kekacauan dengan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan agama.

Katanya tahap perpaduan negara juga berada pada tahap yang baik, dengan kedudukan Malaysia dalam Indeks Keamanan Global, berada di tangga ke 18 daripada 163 buah negara.

"Keamanan negara tidak akan tergugat atas tindakan tersebut, kerana ianya hanya membabitkan kumpulan kecil yang kadang sekali-sekala, membuat kacau - bilau yang akan menjejaskan perpaduan negara.

"Walaupun bukan isu besar di Malaysia, tetapi kita perlu menangani isu tersebut kerana ia adalah imej negara kepada pihak luar, yang boleh memberi kesan kepada rakyat kita, "katanya pada Majlis Perjumpaan dan Amanat Kementerian Perpaduan Negara di Auditorium Permata Sari, RTM Johor di sini, semalam.

Menurutnya, bagi menyampaikan mesej perpaduan dikalangan semua kaum dan penganut agama negara ini, pihaknya menyenarai lebih 30 individu, dalam Jawatankuasa Keharmonian Di Antara Penganut Agama, yang akan dipengerusikan beliau.

"Kita di Kementerian Perpaduan mempunyai komuniti atau jawatankuasa harmoni dalam penganut agama dan jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh saya dan menteri agama.

"Kita telah senarai ahlinya lebih 30 orang dari semua agama yang ada di Malaysia ini untuk datang dan berbincang, melihat nilai-nilai agama satu sama lain, di mana kita berbeza dan melihat bagaimana dapat bersama, "katanya.

27 Januari lalu, Bekas Ahli Parlimen DAP yang juga setiausaha perhubungan antarabangsa DAP, Kasthuri Patto menggesa Wisma Putera memanggil duta Afghanistan dan Iran.

Kasthuri dilaporkan berkata mahukan duta kedua-dua negara Islam itu dipanggil kerana dakwaan pencabulan hak wanita dan kanak-kanak.

Kenyataan itu dikeluarkan di Twitter miliknya selepas, Kementerian Luar Negeri mengeluarkan kenyataan memaklumkan memanggil Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Sweden bagi menegaskan kembali kecaman keras kerajaan Malaysia terhadap tindakan keji Rasmus Paludan yang membakar Al-Quran di Stockholm pada 21 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 11:23 AM