KEADAAN Proton Preve yang terjatuh ke dalam parit . FOTO Ihsan Bomba.
KEADAAN Proton Preve yang terjatuh ke dalam parit . FOTO Ihsan Bomba.
Amirul Aiman Hamsuddin


Sabak Bernam: Kemalangan yang mengorbankan pemandu Proton Preve di Kilometer 41 Jalan Teluk Intan-Klang, berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabak Bernam, di sini, semalam dipercayai berpunca daripada kenderaannya yang terbabas.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias, berkata nahas pada 3.50 petang itu menyebabkan mangsa berusia 28 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.

Sementara, dua individu lagi yang dikenal pasti tidak mengalami kecederaan adalah pasangan suami isteri berusia 39 dan 40 tahun yang menaiki Proton Saga.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan itu dari arah sama iaitu dari Sabak Bernam menuju ke Sungai Besar.

"Kemalangan berlaku semasa Proton Preve yang berada di lorong kanan terbabas lalu melanggar bahagian belakang Proton Saga di lorong kiri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Agus Salim berkata, Proton Preve dan Proton Saga itu kemudiannya terseret ke bahu jalan dan terbalik ke dalam parit.

Menurutnya, pemandu Proton Preve meninggal dunia di tempat kejadian dan pasangan suami isteri dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk rawatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki lemas dalam parit selepas terbabit kemalangan dua kenderaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis dilapor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.01 petang sebelum enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam dikejarkan ke lokasi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2023 @ 10:04 AM