Sebahagian daripada 40 penunggang motosikal menolak motosikal masing-masing dalam Op Motosikal /Lumba Haram di tiga lokasi sekitar Sungai Besar. IHSAN POLIS
Sebahagian daripada 40 penunggang motosikal menolak motosikal masing-masing dalam Op Motosikal /Lumba Haram di tiga lokasi sekitar Sungai Besar. IHSAN POLIS
Amirul Aiman Hamsuddin


EMPAT puluh penunggang motosikal termasuk empat pembonceng diambil tindakan oleh pihak polis selepas dikesan merempit di tiga lokasi di sekitar Sungai Besar semalam, hingga membahayakan pengguna jalan raya lain.

Tiga lokasi terbabit ialah di Jalan Parit 4 Sungai Haji Dorani, Jalan Parit 10 Sungai Panjang dan Jalan Sungai Panjang.

Sekumpulan pegawai dan anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam mengadakan Op Motosikal/Lumba Haram bagi membanteras kegiatan itu.

Dalam operasi bermula 4 petang hingga 7.30 malam itu, polis menahan 40 motosikal dan memeriksa 44 individu berusia 14 hingga 23 tahun.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, seramai 17 pegawai dan anggota polis trafik bertindak menyerbu lokasi itu yang menjadi tumpuan mat rempit.

Menurutnya, sebanyak 110 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan yang dikesan dalam pemeriksaan itu.

"Dua individu membabitkan lelaki berusia 19 dan 20 tahun turut ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Mereka ditahan kerana kerana menunggang secara melulu dan melakukan aksi yang membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain," katanya.

Beliau berkata, 38 lagi individu pula disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 3:39 PM