FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Mohamad Fahd Rahmat


Batu Pahat: Seorang wanita berusia 38 tahun yang dipercayai mengalami tekanan perasaan dilaporkan hilang sejak 18 Disember tahun lalu dan masih belum ditemui sehingga kini.

Menurut abang mangsa, Daeng Mohd Fadzli Anuar, 42, adik bongsunya, Hasna dilihat kali terakhir berpakaian baju lengan panjang berwarna biru bertulisan Giat Mara dan memandu Perodua Viva berwarna perak dengan nombor pendaftaran JKQ 4457.

Katanya, adiknya itu keluar dari kediaman keluarga di Parit Terus, Senggarang di sini pada 15 Disember tahun lalu pada 7.30 pagi dengan membawa wang RM20 yang diambil dari dompet ibu mereka.

"Adik saya menganggur sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 2020 lagi dan sejak itu duduk di rumah keluarga.

"Sebelum itu, adik saya bekerja sebagai pembantu kedai di Kuala Lumpur dan berhenti kerja selepas sakit tulang belakang akibat terjatuh di bilik air.

"Ketika menganggur ini perwatakan adik saya berubah menjadi pendiam dan suka menyendiri malah dengan emak pun dia kurang bercakap.

"Sebelum keluar dari rumah ada berlaku sedikit pertengkaran mulut antara dia dan abangnya yang juga tidak bekerja," katanya ketika dihubungi.

Daeng berkata, ini kali pertama kejadian berkenaan menimpa adiknya yang disifatkan seorang yang menjaga solat dan menafikan adiknya itu terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

"Mungkin adik saya bertambah tertekan kerana sebelum ini dia ada berkawan dengan seseorang yang berjanji ingin datang menemui keluarga namun sehingga hari ini tak kunjung tiba.

"Telefon bimbit adik pun tidak aktif dan kami pun tidak tahu dengan siapa dia berkawan dan hendak menghubungi siapa yang boleh membantu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2023 @ 2:18 PM