Oleh Zainie Salihin


Subang: Pemain berusia 15 tahun Daeng Abd Rahman Abd Aziz (gambar) memenangi gelaran sulung dalam keriernya sebagi pemain amatur Malaysia pada Kejohanan Golf Amatur MPI-Saujana edisi ke-28 di Saujana Golf & Country Club semalam.

Pada pusingan akhir, dia tenang mengatasi tekanan walaupun pada permulaan tee ketinggalan dengan tiga pukulan kepada pendahulu hari pertama dan kedua Johnson Poh dari Singapura.

Daeng mempamerkan persembahan konsisten par 72 yang sudah cukup mengatasi Johnson dengan kelebihan tiga pukulan. Permainan Johnson agak merosot dengan melakukan kesilapan pada tiga lubang terakhir dengan bogey-triple bogey-bogey menyaksikan dia menamatkan saingan di kedudukan ketiga di belakang Kaven Caesario Akbar dari Indonesia.

Keseluruhannya Daeng menamatkan saingan dengan 211 pukulan untuk merangkul juara edisi ini mengatasi Kevin 213 dan Johnson 214 pukulan.

“Saya menghantar bola ke fairway 11 daripada 14.

“Walaupun pukulan iron saya tidak begitu baik tetapi berjaya ditutupi dengan putting yang sempurna. Titik perubahan bagi saya pada lubang 16 Par 4 lubang apabila Johnson melakukan bogey dan saya berjaya merapatkan jurang kepada hanya satu pukulan,” kata Daeng.

Pada lubang 17 Par 3, dia mengatasi Johnson apabila bola lawannya memasuki air dan berakhir dengan triple bogey yang memberikan Daeng kedudukan selesa mendahului dua pukulan.

Pada lubang 18 par 4, Kevin mempunyai peluang untuk memaksa Daeng beraksi dalam permainan penentuan jika mendapat birdie tetapi gagal melakukannya.

Malaysia juga menguasai kategori berpasukan dengan gandingan Daeng dan Amir Nazrin Jailani muncul juara sulung acara ini dengan catatan 283 pukulan mengatasi gandingan Mark Ong dan Johnson dari Singapura di tempat kedua mengumpul 284 pukulan dan gandingan Sangchai Kaewcharoen dan Sadom Kaewkanjana dari Thailand ketiga, 292 pukulan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2015 @ 12:11 PM