Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersedia menggerakkan tenaga tambahan termasuk 33 Pasukan Gerak Cepat (Red Team) khususnya ke negeri Pantai Timur jika banjir luar jangka kembali melanda.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, ia juga termasuk pergerakan anggota dan aset dari negeri lain bagi menampung keperluan dengan mengambil kira negeri yang teruk terjejas seperti Terengganu dan Kelantan baru-baru ini.

Beliau berkata, ia bagi memastikan operasi menyelamat dan memindahkan mereka yang terjejas akibat bencana itu berjalan lancar.

"Setakat ini, Alhamduliilah, keadaan banjir bertambah stabil dan kita bekerjasama rapat dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan agensi penyelamat lain melihat kepada jangkaan hujan ataucuaca.

"Keadaan itu bagi membolehkan kita merancang pergerakan pasukan ke tempat yang kita jangka akan bertambah buruk kejadian banjirnya supaya kita dapat bersedia awal.

"Kita tidak mahu berada di satu-satu lokasi selepas menerima panggilan tetapi kita akan bersedia di lokasi-lokasi yang dijangka berlaku banjir.

"Ia bagi memastikan isu-isu berbangkit seperti kelewatan dan sebagainya yang disebabkan terputus jalan dapat diatasi dengan segera," katanya.

Nor Hisham berkata, pihaknya juga akan menggunakan helikopter JBPM ke kawasan yang terputus hubungan akibat bencana berkenaan.

Katanya, unit udara juga bersedia untuk diaktifkan sekiranya bantuan aset darat dan air menghadapi masalah untuk ke kawasan yang terjejas akibat banjir.

"Kita juga akan terus memperkukuhkan kerjasama bersama agensi penyelamat yang lain bersama badan bukan kerajaan (NGO), swasta dan komuniti bagi melancarkan operasi menyelamat dan memindahkan mangsa," katanya.

ANGGOTA bomba menyelamat dan memindahkan mangsa di Kampung Tanjung Sabtu, Rabu lalu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
ANGGOTA bomba menyelamat dan memindahkan mangsa di Kampung Tanjung Sabtu, Rabu lalu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2022 @ 10:52 AM