Zatul Iffah Zolkiply


Chukai: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu bukan sahaja terpaksa melalui jalan jauh, malah meredah air melimpah ke atas jalan untuk menghantar petugas kesihatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini.

Perjalanan pergi dan balik mengambil masa dua jam membabitkan jarak 60 kilometer (KM) apabila beberapa laluan ke tiga PPS iaitu Pasir Gajah, Surau Haji Othman Kampung Seberang Tayor Hilir dan Felda Seberang Tayor dinaiki air termasuk mencecah satu meter.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Zailani Abdullah berkata, dia bersama empat anggota digerakkan untuk membawa kumpulan petugas kesihatan ke kawasan PPS.

Katanya, pihaknya menggunakan lori untuk membawa petugas kesihatan membabitkan pegawai perubatan, jururawat dan pembantu kesihatan.

"Seramai 11 petugas barisan hadapan ditugaskan untuk membuat pemeriksaan ke atas mangsa banjir di PPS dan kita berdepan sedikit risiko kerana ada limpahan air sungai di beberapa laluan bermula dari PPS Pasir Gajah hingga PPS Felda Seberang Tayor.

"Kita terpaksa menggunakan laluan lain kerana laluan utama untuk ke PPS berkenaan dinaiki air.

"Bagaimanapun, beberapa laluan alternatif turut dinaiki air menyebabkan kita mengambil masa lama dan perlu lebih berjaga-jaga, " katanya.

ANGGOTA bomba menggunakan lori untuk menghantar petugas kesihatan dari Hospital Kemaman ke PPS di sekitar daerah itu. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
ANGGOTA bomba menggunakan lori untuk menghantar petugas kesihatan dari Hospital Kemaman ke PPS di sekitar daerah itu. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY

Sementara itu, pasukan kesihatan dari Hospital Kemaman dilihat membawa bekalan ubat sebagai persediaan kepada mangsa banjir sekiranya ada antara mereka mengalami demam dan batuk.

Pasukan berkenaan turut membuat pemantauan terhadap mangsa banjir yang mengalami sakit kronik selain turut melakukan proses sanitasi di kawasan khemah dan tandas bagi mengelak sebarang jangkitan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2021 @ 8:04 PM