Zatul Iffah Zolkiply


Setiu: Sebanyak 29 kampung dengan 3,995 orang penduduk di Setiu terjejas akibat banjir yang melanda daerah berkenaan bermula semalam.

Setakat jam 12 tengah hari, beberapa kampung yang terjejas adalah Kampung Seladang, Kampung Besut, Kampung Seri Bayas, Kampung Che Long, Kampung Bahagia dan Kampung Permaisuri.

Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Afandi Husin berkata, ia membabitkan 50 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan semua mangsa yang terjejas.

Beliau berkata, bencana sama turut menyebabkan lima laluan ditutup iaitu Jalan Permaisuri-Hulu Seladang, Kilometer (KM) 67 hingga KM 68 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, Chalok – Gong Terap, Guntong-Kampung Saujana dan KM 70 Kuala Terengganu-Kota Bharu.

"Setakat ini, tiada sebarang kejadian tanah runtuh berlaku di Setiu selain tiada balai yang terjejas akibat bencana banjir," katanya.

Keadaan beberapa kampung yang terletak berhampiran Bandar Permaisuri yang dinaiki air. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Keadaan beberapa kampung yang terletak berhampiran Bandar Permaisuri yang dinaiki air. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY

Afandi berkata, sebanyak satu Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) iaitu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu dibuka.

Katanya, lebih 100 pegawai dan anggota membabitkan pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) terbabit dalam menyelamat dan memindahkan mangsa banjir.

"Pihak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) turut menghulurkan bantuan apabila kenderaan berat mereka digunakan untuk menghantar bahan makanan mentah untuk ke PPS yang terputus hubungan susulan laluan dinaiki air," katanya.

PASUKAN penyelamat dengan bantuan pihak ECRL ketika menghantar makanan mentah untuk ke PPS. FOTO Ihsan Polis
PASUKAN penyelamat dengan bantuan pihak ECRL ketika menghantar makanan mentah untuk ke PPS. FOTO Ihsan Polis

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 4:30 PM