Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Kemaman selepas kediaman penduduk dilanda banjir akibat fenomena air pasang besar.

Ia selepas pembukaan PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor pada 10 malam tadi.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, seramai 19 mangsa daripada lima keluarga dipindahkan ke dua PPS berkenaan yang dibuka secara berperingkat bermula malam tadi.

PPS di SK Lembah Jabor diaktifkan bagi menempatkan sembilan mangsa daripada tiga keluarga.

Seramai 10 mangsa daripada dua keluarga dipindahkan ke PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan Geliga yang dibuka 9 malam tadi.

Ketika ini, keadaan cuaca hujan di beberapa kawasan di Terengganu.

Anggota bomba sedang melakukan tinjauan air pasang di sekitar Losong. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Anggota bomba sedang melakukan tinjauan air pasang di sekitar Losong. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY

Sebelum ini, Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan Terengganu berdepan fenomena air pasang besar bermula pada 1 hingga 8 Januari ini.

Fenomena itu boleh menyebabkan berlaku kenaikan paras air laut yang boleh mencecah antara 3 meter (m) hingga 3.7 m.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 8:27 AM