Zatul Iffah Zolkiply


Setiu: Anggota Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menempuh perjalanan hampir 20 kilometer (KM) termasuk jalan berbukit dan berlumpur dalam operasi memindahkan gajah liar di Kampung Ulu Seladang di sini, semalam.

Bukan itu sahaja, anggota juga perlu membuat laluan khas kerana laluan sedia ada sukar diakses untuk kenderaan berat seperti lori berikutan jalan yang berbukit sepanjang 6 km dan sempit serta licin disebabkan hujan.

Ketua PKGK Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kehadiran gajah liar itu, Rabu lalu.

Beliau berkata, 30 orang terdiri daripada PKGK Kuala Gandah, Sungai Deka dan Johor serta Perhilitan Terengganu tiba di kampung berkenaan untuk menyertai operasi terbabit.

Katanya, gajah jantan seberat dua tan itu terlebih dahulu ditembak dengan ubat pelali bagi menenangkannya, Khamis lalu.

"Operasi bermula pada jam 8 pagi hingga 3 petang tadi (semalam) dan kita terpaksa menarik keluar gajah itu sejauh 300 meter dari kebun penduduk sebelum dipindahkan ke atas lori.

"Proses pemindahan gajah jantan ini turut dibantu dua gajah denak bernama 'Suria' dan 'Kala' yang dibawa dari PKGK Sungai Deka bagi tujuan memujuk.

"Gajah jantan berusia 16 tahun ini dipindahkan ke Hutan Simpan Royal Belum Grik Perak," katanya ketika ditemui selepas operasi pemindahan gajah di Kampung Ulu Seladang di sini semalam.

Che Ku Mohd Zamzuri (kanan) melihat dua ekor gajah denak yang digunakan untuk memindahkan gajah liar di Kampung Sungai Lerek. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Che Ku Mohd Zamzuri (kanan) melihat dua ekor gajah denak yang digunakan untuk memindahkan gajah liar di Kampung Sungai Lerek. FOTO Zatul Iffah Zolkiply

Che Ku Mohd Zamzuri berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan di sekitar kawasan kebun berkenaan dakwaan masih terdapat gajah liar yang lain.

Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat gajah liar yang lain di kawasan itu memandangkan mamalia itu biasanya bergerak dalam kumpulan.

"Biasanya yang gajah jantan ini terpisah daripada kumpulan gajah betina, jadi kita akan buat pemantauan dari semasa ke semasa," katanya.

Terdahulu, keresahan pekebun kelapa sawit dan pisang terhadap ancaman gajah liar yang merosakkan tanaman berakhir apabila haiwan itu ditangkap semalam.

Difahamkan, gajah liar itu mula dikesan memasuki kawasan kebun milik penduduk pada 31 Mei lalu dengan kejadian terbaharu berlaku pada 23 Jun lalu sehingga menyebabkan tiga pekebun menanggung kerugian hampir RM10,000 selepas tanaman dirosakkan haiwan terbabit.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 1:08 PM