Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Pasangan suami isteri maut manakala anak mereka cedera selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah bas di Kilometer 21.8 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Kampung Sungai Ikan di sini hari ini.

Dalam kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 12.45 tengah hari, pemandu Perodua Myvi, Che Ku Yusoff Ali Che Ku Embong, 52, dan isteri, Siti Faridaf Ahmad, 46, yang berada di tempat duduk belakang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah pada anggota badan.

Manakala, anak mereka, Che Ku Batrisya, 18, yang juga penumpang hadapan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku ketika bas dipandu lelaki berusia 51 tahun bersama seorang kelindan dan 27 penumpang dalam perjalanan dari arah Kota Bharu, Kelantan menghala Kuantan, Pahang.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta Perodua Myvi dipandu Che Ku Yusoff Ali yang datang dari arah Kuala Terengganu menghala ke Felda Belara dikatakan bertembung dengan bas berkenaan.

KEADAAN bas yang bertembung dengan Myvi. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
KEADAAN bas yang bertembung dengan Myvi. FOTO Zatul Iffah Zolkiply

"Jarak yang dekat menyebabkan pemandu bas berkenaan tidak sempat mengelak lalu menyebabkan kedua-dua kenderaan itu bertembung.

"Kejadian itu menyebabkan pemandu dan penumpang Perodua Myvi meninggal dunia di lokasi kejadian manakala 10 lagi mangsa termasuk penumpang hadapan Perodua Myvi dan pemandu bas cedera.

"Anak mangsa bersama pemandu serta seorang penumpang bas dihantar ke HSNZ Kuala Terengganu untuk rawatan manakala tujuh mangsa yang lain dibawa ke Hospital Setiu untuk pemeriksaan lanjut.

"Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik HSNZ untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 197," katanya.

ANGGOTA bomba melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Kilometer 21 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Sungai Ikan. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
ANGGOTA bomba melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Kilometer 21 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Sungai Ikan. FOTO Zatul Iffah Zolkiply

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus Azmi Omar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.57 tengah hari sebelum lapan anggota bersama satu jentera dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, sebaik tiba, terdapat tiga mangsa di dalam Perodua Myvi dengan dua daripadanya sudah meninggal dunia sebelum kerja-kerja mengeluarkan mereka dilakukan.

"Kita mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit manakala pasangan suami yang sudah meninggal dunia dan tersepit itu pula berjaya dikeluarkan selepas 30 minit kerja-kerja menyelamat dijalankan.

"Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke HSNZ dan Hospital Setiu manakala mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2023 @ 6:53 PM