ANGGOTA Bomba mengangkat seorang daripada dua kanak-kanak lelaki yang tidak sedarkan diri manakala rakannya dipercayai meninggal dunia. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA Bomba mengangkat seorang daripada dua kanak-kanak lelaki yang tidak sedarkan diri manakala rakannya dipercayai meninggal dunia. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


Changlun: Seorang kanak-kanak lelaki dipercayai meninggal dunia manakala dua rakannya tidak sedarkan diri selepas dihempap tiang elektrik ketika bermain di Jalan K16, Kampung Belukar, di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 5.33 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam dan menerima maklumat ada tiga mangsa berusia 10 dan 11 tahun dipercayai bermain berdekatan tiang elektrik yang dilonggokkan di tepi jalan berkenaan sebelum terjatuh dan menghempap mangsa.

"Ketika tiba di lokasi, didapati hanya dua mangsa masih berada di lokasi iaitu seorang yang dipercayai sudah meninggal dunia manakala seorang lagi tidak sedarkan diri yang berjaya dibawa keluar oleh orang awam," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, kanak-kanak lelaki terbabit meninggal dunia akibat kecederaan di kepala.

Katanya, mangsa yang meninggal dunia berusia 10 tahun dan mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tindakan lanjut.

"Dua lagi rakannya berusia 10 dan 11 tahun masing-masing mengalami kecederaan pada bahagian paha dan pinggang. Kedua-dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan.

"Hasil siasatan mendapati, tiada sebarang unsur jenayah di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 8:21 PM