MOTOSIKAL mangsa rosak selepas merempuh tiang elektrik di Jalan Durian Daun Dalam, Melaka, tengah hari tadi. Gambar kecil, Muhammad Raihan. FOTO ihsan polis
MOTOSIKAL mangsa rosak selepas merempuh tiang elektrik di Jalan Durian Daun Dalam, Melaka, tengah hari tadi. Gambar kecil, Muhammad Raihan. FOTO ihsan polis
Mohd Hilmie Hussin


CALON Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas motosikal Modenas Kriss ditunggang bersama rakan terbabas sebelum merempuh tiang elektrik di Jalan Durian Daun Dalam, Melaka, tengah hari tadi.

Dalam kejadian 12.40 tengah hari itu, Muhammad Raihan Razali, 17, maut manakala rakannya yang membonceng, Muhammad Zaraf Mohd Zan, 13, cedera di bibir.

Difahamkan, Muhammad Raihan yang juga pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Daun tidak sedarkan diri selepas kemalangan itu sebelum disahkan meninggal dunia dua jam kemudian ketika menerima rawatan di Hospital Melaka.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Mohd Sham Abdullah, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 3.05 petang.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal dinaiki dua remaja itu hilang kawalan ketika melalui hadapan Sekolah Rendah Agama Datin Seri Zabedah sebelum terbabas ke kiri jalan dan merempuh tiang elektrik.

“Penunggang motosikal meninggal dunia pada 2.30 petang ketika menerima rawatan di Hospital Melaka, manakala rakannya dirawat di Zon Hijau hospital sama,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Mohd Sham berkata, punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 10:57 PM