Treler yang terjunam dalam sungai menyebabkan seorang maut. FOTO Danial Noordin
Treler yang terjunam dalam sungai menyebabkan seorang maut. FOTO Danial Noordin
Oleh Norul Awatif Romli


Changlun: Lelaki maut apabila treler membawa muatan dedak lembu dipandu hilang kawalan dan merempuh penghadang jambatan Sungai Laka dan terjunam ke dalam sungai itu di Batu 10 1/2 Jalan Kodiang-Changlun, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, mangsa Taufik Zainol, 47, berasal dari Kampung Teluk Nibong, Mukim Jitra, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di bahagian dalaman badan.

Difahamkan, anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian mengambil masa hampir tiga jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian pemandu berikutan keadaan kepala treler remuk.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Abd Rahim Abdullah berkata, ketika kejadian mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Kodiang menghala ke Changlun.

"Siasatan masih diteruskan untuk mengesan saksi bebas di tempat kejadian dan mereka diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2015 @ 5:25 PM