Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin melawat sekitar hospital pada Majlis Pelancaran Pengoperasian Hospital Cyberjaya hari ini. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin melawat sekitar hospital pada Majlis Pelancaran Pengoperasian Hospital Cyberjaya hari ini. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Sudirman Mohd Tahir


Cyberjaya: Khairy Jamaluddin mendoakan kemenangan buat Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan yang bertanding di Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu seorang calon berwibawa dan cukup dikenali.

"Saya percaya Tok Mat seorang calon berwibawa dan Rembau pun kawasan yang saya jaga dengan baik selama tiga penggal. Saya doakan kemenangan beliau.

"Tok Mat bukan orang asing di Rembau, dia juga Ketua Bahagian di sana dan saya timbalan dia. Banyak jasa beliau dan dia sangat popular di sana. Saya yakin beliau akan berjaya," katanya.

Pada PRU-15 ini, Tok Mat menerima cabaran daripada empat calon lain iaitu Pakatan Harapan (PH) Jufitri Joha dan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Nazree Mohd. Yunus.

Turut memberikan saingan dalam pertembungan lima penjuru itu ialah, calon Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Ramly Awalludin dan wakil Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Tinagaran.

Untuk rekod, pada PRU-14 kerusi Parlimen Rembau dimenangi oleh Khairy dengan majoriti 4,364 undi. Beliau mendapat sebanyak 36,096 undi menewaskan calon PKR, Lt. Kol. (B) Roseli Abdul Ghani yang mendapat 31,732 undi manakala calon Pas, Mustafa Dolah memperoleh 6,028 undi.

Khairy juga penyandang bagi tiga penggal Parlimen Rembau sebelum diberikan kepada Tok Mat pada PRU-15 ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 2:52 PM