Erma Fatima
Erma Fatima
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur : Penerbit dan pengarah terkenal, Erma Fatima membuat permohonan maaf kepada warga Singapura berhubung kenyataannya terhadap kekasih gelap pelakon, Aliff Aziz iaitu Sarah Yasmine yang didakwa terdapat unsur cuba melaga-lagakan masyarakat kedua-dua negara.

Kata Erma atau nama sebenar, Fatimah Rahmad Ali, 56, dia tetap dengan pendirian tindakan Sarah Yasmine adalah salah kerana mendedahkan aib golongan artis dan menjatuhkan maruah kaum wanita.

"Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Saya terima kalau ada yang tidak puas hati dengan kenyataan saya.

"Saya minta maaf kalau ia mengguris hati orang Singapura tapi saya tetap dengan pendirian perbuatan perempuan itu (Sarah Yasmine) menjatuhkan maruah orang seni dan maruah perempuan," katanya.

Erma berkongsi permohonan maafnya itu yang dibacakan pengacara Roslan Shah menerusi video siaran langsung di Instagram (IG) miliknya, semalam.

"Salam Lan, Erma minta maaf sebab peguam saya tak benarkan buat apa-apa kenyataan tentang isu ini.

"Yang pasti saya tidak bermusuh dengan warga Singapura, saya tidak suka dengan cara perempuan itu mengaibkan orang yang tiada kena mengena dalam kes Aliff.

"Tiada sebab saya nak bermusuh dengan orang Singapura, saya bawa masuk Aaron Aziz dan Adi Putra ke industri ini dan mereka diterima sebab kelakuan mereka baik,"katanya.

Terdahulu, kenyataan Erma menyuruh Sarah Yasmine pulang ke Singapura selepas pelbagai kontroversi tercetus sehingga menyeret beberapa nama selebriti tempatan turut meraih perhatian ramai.

Tindakan Sarah Yasmine yang memuat naik pelbagai tangkap layar perbualan antara Aliff dengan pelakon, Ruhainies juga menggemparkan industri seni tanah air sehingga pelbagai pihak tampil mengeluarkan kenyataan menafikannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 12:54 PM