KHAIRY Jamaluddin bersalaman bersama jemaah selepas selesai solat jumaat di di Masjid Jamek Sungai Plong. FOTO Hazreen Mohamad.
KHAIRY Jamaluddin bersalaman bersama jemaah selepas selesai solat jumaat di di Masjid Jamek Sungai Plong. FOTO Hazreen Mohamad.
Sudirman Mohd Tahir


Sungai Buloh: "Saya sudah biasa dengan provokasi dan fitnah."

Itu kata calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin susulan fitnah yang dilemparkan terhadap dirinya membabitkan tangkap layar perbualan WhatsApp seperti yang tular, semalam.

Khairy berkata, pengundi lebih bijak untuk menilai antara politik kotor dan visi yang dibawa untuk Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

"Saya sudah biasa dengan perkara seperti itu. Ini kali keempat saya bertanding dalam PRU, sudah tiga penggal menjadi Ahli Parlimen dan tiga kali menjadi menteri kabinet. Mestilah ini asam garam politik.

"Tapi saya fikir pengundi lebih matang, tahu membezakan antara politik kotor dengan visi kata janji untuk Sungai Buloh yang saya sudah bentangkan kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Sungai Plong, di sini, hari ini.

Khairy kemudiannya dibawa menaiki motosikal untuk melawat beberapa Pusat Mengundi di sini.

Terdahulu, tular kandungan paparan skrin mesej mendakwa Khairy mengarahkan individu menamatkan hayat politik Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat) yang bertanding di Parlimen Rembau pada PRU-15 ini.

Khairy menerusi ciapan di Twitter berkata, mesej yang memaparkan nama pengirim 'Boss KJ' itu adalah palsu dan berunsur fitnah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 2:58 PM