Noor Atiqah Sulaiman


Sungai Buloh: Kenyataan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa Parlimen Sungai Buloh adalah kawasan selamat bukanlah 'tiket' kepada Khairy Jamaluddin untuk bersenang lenang.

Khairy yang juga calon BN bagi Parlimen Sungai Buloh itu berkata, beliau tetap akan berusaha bersungguh-sungguh bagi memenangi hati pengundi di kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

"Saya akan berusaha bersungguh-sungguh (dan) jumpa pengundi untuk kempen. InsyaAllah," katanya ringkas bagi mengulas mengenai kenyataan Mohamad, semalam.

Khairy sebelum ini memaklumkan Parlimen Sungai Buloh yang ditandinginya bukanlah kawasan putih atau kelabu sebaliknya kawasan gelap gelita.

Berikutan itu, Khairy yang mengakui beliau sebagai calon 'underdog' berjanji tidak akan membiarkan Parlimen yang dipegang oleh pembangkang sejak tiga penggal yang lalu itu jatuh ke tangan mereka buat kali keempat.

Selasa lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi mengumumkan Khairy yang juga penyandang kerusi Rembau sebagai calon Parlimen Sungai Buloh, manakala PKR pula sebelum ini mengumumkan pencalonan Timbalan Ketua Penerangan 1 parti itu, Datuk R Ramanan.

Perikatan Nasional (PN) pula mengumumkan wakil gabungan itu daripada PAS, Mohd Ghazali Md Hamin sebagai calon.

Sebelum ini, Sungai Buloh adalah kerusi campuran yang disandang R Sivarasa dari PKR sejak 2008.

Pada PRU-14 dalam persaingan di P 107 Sungai Buloh, Sivarasa meraih 43,631 undi menewaskan Nuridah dari PAS yang memperoleh 16,977 undi, A Prakash Rao mewakili BN (16,681) dan Zainurizzaman Moharam dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) (642).

Secara tradisi kerusi Sungai Buloh ditandingi oleh MIC namun parti itu kalah kepada PKR tiga penggal berturut-turut.

Jumlah pengundi yang keluar mengundi pada PRU14 adalah sebanyak 82.32 peratus yang mewakili seramai 12,229,514 orang daripada 14,940,624 pengundi yang berdaftar.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kenyataan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli bahawa Khairy tetap 'dikerat' oleh Zahid walaupun memenangi kerusi berkenaan, beliau mengucapkan terima kasihkepada pemimpin kanan parti pembangkang itu kerana prihatin dengan kerjaya politiknya.

"Terima kasih kepada kawan baik saya yang prihatin mengenai masa depan kerjaya saya. InsyaAllah, fokus saya sekarang ini nak menangkan kawasan Sungai Buloh, itu menjadi tumpuan saya.

"Penerimaan, Alhamdulillah, baik. Tapi kita kena sentiasa ingat, ini kawasan yang kita kalah majoriti lebih kurang 26,000 undi jadi bukanlah satu kawasan yang mudah. Bukanlah satu kempen yang mudah jadi kita kena kerja kuat," katanya.

Ketika ditanya adakah kenyataan yang dikeluarkan oleh Rafizi itu hanyalah sebagai satu perang psikologi untuk mematahkan semangatnya sebagai calon 'underdog', Khairy enggan mengulas lanjut.

"Susahlah nak cakap pasal kawan ni, dia kawan baik saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 2:11 PM