Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seramai 118,815 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasangan di seluruh negara melaksanakan tanggungjawab mengundi awal dan pos dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, daripada jumlah itu, 113,625 adalah pengundi, manakala 5,190 lagi undi pos.

"Ia membabitkan 661 tempat mengundi dan 970 saluran.

"Pemantauan mendapati suasana undi awal pagi ini berlangsung dalam keadaan teratur," katanya pada sidang media selepas membuang undi di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

ACRYL Sani menunjukkan jari beliau yang sudah dicelup dakwat kekal selepas membuang undi FOTO Asyraf Hamzah
ACRYL Sani menunjukkan jari beliau yang sudah dicelup dakwat kekal selepas membuang undi FOTO Asyraf Hamzah

Acryl Sani berkata, maklum balas pemerhati Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan proses pengundian tahun ini antara paling sistematik dan berjalan lancar.

"Saya percaya setiap pegawai dan anggota mempunyai pandangan dan pengetahuan tersendiri untuk membantu bagi membuat pilihan tepat dalam memastikan negara kuat, stabil dan kukuh bukan sahaja dari segi ekonomi tapi keselamatan serta ketenteraman.

"Justeru itu, saya berharap proses undi awal ini dapat diselesaikan mengikut masa ditetapkan," katanya.

ANGGOTA polis berbaris menunggu giliran untuk membuang undi ketika proses undi awal bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. FOTO Asyraf Hamzah
ANGGOTA polis berbaris menunggu giliran untuk membuang undi ketika proses undi awal bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. FOTO Asyraf Hamzah

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia yang layak untuk keluar mengundi selaras dengan asas demokrasi bagi memilih pemimpin yang akan membentuk kerajaan.

Terdahulu, Acryl Sani hadir ke saluran mengundi di Dewan Badminton Persatuan Keluarga Polis (Perkep) jam 10.10 pagi tadi bagi undi awal.

Selain itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan dan Pengarah Pengurusan, Datuk Zaini Jass turut dilihat membuang undi di pusat mengundi sama.

ANGGOTA polis membuang undi mereka ketika proses undi awal bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. FOTO Asyraf Hamzah
ANGGOTA polis membuang undi mereka ketika proses undi awal bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. FOTO Asyraf Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 11:59 AM