Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan pihaknya tidak menolak aduan berhubung isu tahanan Depoh Imigresen Kimanis, Sabah, yang tular minggu lalu.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau sedia mendengar segala teguran dan pandangan susulan kenyataan yang dikeluarkan Lawyers for Liberty (LFL) berkaitan isu terbabit.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak adil untuk pihak lain membuat kritikan terhadap dirinya dan membuat kesimpulan awal.

"Siapa yang mengenali saya, mereka akan akui saya sedia menerima teguran dan pandangan. Itu cara kepimpinan saya.

"Ini adalah hari kelima saya masuk pejabat, beri peluang untuk saya dengar semua taklimat," katanya pada sidang media selepas Lawatan Kerja di Ibu Pejabat Bukit Aman, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata, pihak LFL harus lihat rekodnya sebelum ini dan tidak membuat kesimpulan awal.

"Mereka sendiri (LFL) tidak pernah mohon untuk jumpa saya, macam mana dia kata saya tidak terima pandangan.

"Adalah munasabah untuk kami mendengar taklimat. Tentulah ada aspek yang akan kami bagi pandangan, namun buat masa ini, kami mendengar.

"Pihak kami juga akan berinteraksi dengan jabatan berkaitan termasuk pihak Imigresen. Kami akan berikan beberapa idea penambahbaikan," katanya.

Terdahulu, Pengarah LFL Zaid Malek mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan Saifudin menafikan dakwaan tahanan di Depoh Imigresen Kimanis dilayan dengan teruk adalah tidak boleh diterima.

Katanya, tindakan itu disifatkan bertentangan dengan tadbir urus yang baik bagi Menteri Dalam Negeri untuk menolak terus aduan yang serius.

Minggu lalu, tular video memaparkan tahanan di Depoh Imigresen Kimanis didakwa dilayan dengan teruk sehingga mengalami isu kesihatan.

Saifuddin Nasution bercakap ketika sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman. FOTO ASYRAF HAMZAH
Saifuddin Nasution bercakap ketika sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman. FOTO ASYRAF HAMZAH

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 3:38 PM