Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah meminta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) untuk menyiasat dakwaan wujud kartel dalam agensi berkenaan seperti didakwa bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sebelum ini.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya sudah menulis surat kepada suruhanjaya berkenaan untuk mengambil alih siasatan berhubung kewujudan kartel terbabit.

"Saya serius dan sedia maklum berhubung dakwaan isu kartel dalam PDRM. Jadi, kita sudah menulis surat mempelawa EAIC (SIAP) untuk menyiasat perkara ini dengan segera dan mereka sedang meneliti permintaan kami.

"Kami tidak boleh menyiasat dakwaan ini kerana ia adalah tohmahan dan hanya pihak ketiga yang boleh menyiasat dan membuat keputusan hasil siasatan dilakukan.

"Ini kerana EAIC (SIAP) adalah satu suruhanjaya bebas dan mempunyai reputasi yang baik serta berupaya mengendalikan hal ini. Kami 'hands off' (menyerahkan) perkara ini untuk disiasat secara telus," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

DATUK Seri Acryl Sani Abdullah Sani bercakap ketika sidang media berkenaan perlaksanaan PKP penutupan penuh di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. FOTO Asyraf Hamzah
DATUK Seri Acryl Sani Abdullah Sani bercakap ketika sidang media berkenaan perlaksanaan PKP penutupan penuh di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. FOTO Asyraf Hamzah

Terdahulu, media melaporkan Abdul Hamid mendedahkan terdapat 'geng kartel' dalam PDRM yang cuba menjatuhkannya pada Mac lalu.

Malah, pendedahannya terhadap cubaan kelompok kecil membabitkan pegawai muda itu dibuat supaya ia tidak menjadi barah dalam pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 7:59 PM