Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kerajaan sudah mengenal pasti sebanyak 2,010 pusat pemindahan sementara (PPS) dan pusat mengundi yang bertindih di seluruh negara yang mana pengasingan akan dilakukan sekiranya berlaku banjir pada hari mengundi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, terdapat 6,010 PPS di seluruh negara yang mana ada bertindih dengan pusat mengundi yang akan digunakan sebagai PPS dan pusat mengundi.

Bagaimanapun, katanya, jika sekolah itu mempunyai tiga blok, ia boleh diasingkan yang mana dua blok dijadikan PPS sementara dan satu lagi sebagai tempat mengundi.

"Lagipun banjir bukan berlaku di seluruh negara, mungkin juga banjir tidak berlaku. Bukan bermakna 2,010 yang bertindih itu akan berlaku banjir tetapi kita melakukan persediaan bergantung kepada keadaan.

"Jika ada tempat lain boleh dipindahkan, ia akan dilakukan... misalnya kita sudah buat persediaan memindahkan ke balai raya, dewan orang ramai, surau dan masjid," katanya pada sidang media selepas Taklimat Khas PRU-15 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

ISMAIL Sabri  (tengah) ketika sidang media selepas menghadiri Taklimat Khas Sempena PRU-15 dan Monsun Timur Laut 2022 di Bukit Aman, hari ini. Turut sama Acryl Sani (kiri) dan Razarudin. FOTO Bernama.
ISMAIL Sabri (tengah) ketika sidang media selepas menghadiri Taklimat Khas Sempena PRU-15 dan Monsun Timur Laut 2022 di Bukit Aman, hari ini. Turut sama Acryl Sani (kiri) dan Razarudin. FOTO Bernama.

Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Ismail Sabri berkata, kuasa juga sudah diturunkan kepada pegawai daerah untuk mengenal pasti kawasan untuk memindahkan mangsa banjir, dan jika perlu ditukar alternatif lain boleh dilakukan.

"Seramai 21,018 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertugas ketika musim banjir bersama 18,511 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 14,829 anggota bomba, 10,510 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan 4,367 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

"Semua agensi sudah bersedia dan jika jumlah itu tidak mencukupi akan ditambah, tetapi setakat ini ia mencukupi kecuali jika berlaku banjir luar biasa serentak di seluruh negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 2:48 PM