SYED Hussian  (kiri) bersama  Azmir  (dua dari kiri),  Husain  (dua dari kanan) dan Pengurus Besar Rumah Kebajikan Ronald McDonald, M Nasri M Nordin (kanan) menyampaikan replika cek berupa sumbangan barangan keperluan bilik tidur kepada Rahman  (tiga dari kiri) dan Pengerusi Pertubuhan Anak Yatim Darul Aminan, Ruzita Abd Aziz (tiga dari kanan) pada Program TKHM Bersama McDonald’s di Pusat Jagaan Pertubuhan Anak Yatim Al-Khair. FOTO AZRUL EDHAM
SYED Hussian (kiri) bersama Azmir (dua dari kiri), Husain (dua dari kanan) dan Pengurus Besar Rumah Kebajikan Ronald McDonald, M Nasri M Nordin (kanan) menyampaikan replika cek berupa sumbangan barangan keperluan bilik tidur kepada Rahman (tiga dari kiri) dan Pengerusi Pertubuhan Anak Yatim Darul Aminan, Ruzita Abd Aziz (tiga dari kanan) pada Program TKHM Bersama McDonald’s di Pusat Jagaan Pertubuhan Anak Yatim Al-Khair. FOTO AZRUL EDHAM
Ahmad Hasbi


Seremban: McDonald's Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) bersama Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) meneruskan usaha menjaga kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak melalui inisiatif Bulan Komuniti yang dikhususkan pada Oktober setiap tahun.

Tahun ini, McDonald's Malaysia memilih Pusat Jagaan Pertubuhan Anak Yatim Al-Khair di sini, sebagai lokasi bagi meraikan Hari Jadi McDonald's dengan meraikan seramai 60 anak yatim dari tiga rumah kebajikan di sekitar daerah ini.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald's Malaysia Datuk Azmir Jaafar berkata, pihaknya dan RMHC membelanjakan lebih RM400,000 bagi memeriahkan Bulan Komuniti pada tahun ini.

"Pada hari ini kami menyambut majlis hari jadi semua anak-anak yang hadir yang akan turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti permainan yang menyeronokkan.

"Atas kesedaran ini, McDonald's berhasrat mengunjungi 400 rumah kebajikan dan menceriakan kira-kira 12,000 kanak-kanak di seluruh Malaysia sepanjang Oktober ini dengan sambutan majlis hari jadi McDonald's seperti hari ini," katanya ketika berucap.

Turut hadir pada program berkenaan adalah Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid, Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit dan wakil dari tiga rumah kebajikan terbabit.

Azmir yang juga Presiden RMHC berkata, RMHC menyumbang set tilam dan bantal kepada 20 rumah kebajikan yang bakal memberi manfaat kepada 1,000 kanak-kanak di seluruh negara.

DELEGASI TKHM dan McDonald’s menyambut hari lahir anak-anak yatim dari tiga rumah kebajikan. FOTO AZRUL EDHAM
DELEGASI TKHM dan McDonald’s menyambut hari lahir anak-anak yatim dari tiga rumah kebajikan. FOTO AZRUL EDHAM

"Pada hari ini, Pusat Jagaan Pertubuhan Anak Yatim Al Khair menerima 22 set tilam dan bantal baru, manakala Pertubuhan Anak Yatim Darul Aminan sebanyak 20 set dan Pertubuhan Kebajikan Jothi Viyasar Negeri Sembilan sebanyak 32 set.

"RMHC juga menyampaikan sumbangan kepada Pertubuhan Kebajikan Perlindungan Jothi Viyasar Negeri Sembilan, bagi memenuhi keperluan anak yatim di rumah berkenaan sempena sambutan Deepavali.

"Pertubuhan Anak Yatim Darul Aminan juga akan menerima sumbangan kelengkapan rumah," katanya.

Pada majlis itu juga, Harian Metro turut menyampaikan sumbangan Kotak Rezeki, barangan elektrik dan wang tunai kepada tiga rumah kebajikan terbabit.

Mengulas lanjut, Azmir berkata, Program Komuniti McDonald's dan RMHC diperluaskan dengan menyaksikan lebih 7,000 aktiviti kemasyarakatan di seluruh negara dilakukan setiap tahun dan tahun ini digandakan kepada lebih 17,000 program.

"Antaranya, sambutan Tahun Baru Cina di rumah orang tua, sumbangan makanan kepada frontliners, menyediakan juadah moreh di masjid pada bulan Ramadan, menceriakan guru sempena Hari Guru dan terbaru memberi makanan kepada 65,000 penghantar makanan di seluruh negara.

"Selain itu, RMHC kini aktif menyampaikan sumbangan pek Kembali ke Sekolah di seluruh negara membabitkan kira-kira 25,000 kanak-kanak sekolah rendah daripada keluarga kurang berkemampuan.

"Selepas enam tahun diperkenalkan, secara keseluruhan sejumlah RM10 juta dibelanjakan untuk program Kembali ke Sekolah dan diagihkan kepada lebih 120,000 kanak-kanak di seluruh negara," katanya.

SYED Hussian  (dua dari kanan) ditemani  Husain  (kanan) bermesra bersama anak-anak yatim  di Pusat Jagaan Pertubuhan Anak Yatim Al-Khair. FOTO AZRUL EDHAM
SYED Hussian (dua dari kanan) ditemani Husain (kanan) bermesra bersama anak-anak yatim di Pusat Jagaan Pertubuhan Anak Yatim Al-Khair. FOTO AZRUL EDHAM

Sementara itu, Husain yang juga Pengerusi Projek TKHM berkata, pihaknya amat berbesar hati dan teruja kerana dapat turut serta dalam Program Komuniti bersama MdDonald's dan RMHC bagi tahun kedua berturut-turut.

"Sebagai rakan media, kerjasama ini adalah bukti keprihatinan Harian Metro untuk menghulurkan bantuan dan memberikan ruang serta peluang kepada anak-anak ini untuk merasai kehidupan yang lebih baik.

"Harapan kami semoga usaha murni ini dapat memberi kegembiraan dan keceriaan kepada anak-anak ini selain dapat meringankan perbelanjaan pengurusan penjagaan serta pendidikan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 11:14 AM