MOHD Nasri (dua dari kanan) dan Magdalene (dua dari kiri) bergotong-royong memasang keperluan bilik tidur penghuni.
MOHD Nasri (dua dari kanan) dan Magdalene (dua dari kiri) bergotong-royong memasang keperluan bilik tidur penghuni.
SEBAHAGIAN sumbangan RMHC, TKHM kepada warga Pertubuhan Perlindungan Kanak-Kanak Pulau Pinang.
SEBAHAGIAN sumbangan RMHC, TKHM kepada warga Pertubuhan Perlindungan Kanak-Kanak Pulau Pinang.
PENGHUNI Pertubuhan Perlindungan Kanak-Kanak Pulau
PENGHUNI Pertubuhan Perlindungan Kanak-Kanak Pulau
HUSAIN (tiga dari kiri) bersama Mohd Nasri (empat dari kiri) dan Magdalene (enam dari kanan) pada Program Komuniti McDonald’s dan RMHC Bersama TKHM di Pertubuhan Perlindungan Kanak-Kanak Pulau Pinang, Jalan Scotland. - Gambar NSTP/DANIAL SAAD
HUSAIN (tiga dari kiri) bersama Mohd Nasri (empat dari kiri) dan Magdalene (enam dari kanan) pada Program Komuniti McDonald’s dan RMHC Bersama TKHM di Pertubuhan Perlindungan Kanak-Kanak Pulau Pinang, Jalan Scotland. - Gambar NSTP/DANIAL SAAD
Redzuan Muharam


George Town: Program Bulan Komuniti McDonald's dan Ronald McDonald House Charities (RMHC) Bersama Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) di utara tanah air, baru-baru ini menyantuni 25 anak yatim serta kanak-kanak kurang bernasib baik di Pertubuhan Perlindungan Kanak-Kanak Pulau Pinang di sini.

Program siri keempat sempena Bulan Komuniti McDonald's itu diadakan dengan tujuan memberi keceriaan kepada kanak-kanak terbabit dan meriah dengan aktiviti permainan, majlis sambutan ulang tahun serta penyampaian sumbangan barangan keperluan bilik tidur untuk keselesaan mereka.

Pengurus Besar RMHC Malaysia Mohd Nasri Mohd Nordin berkata, program itu kesinambungan inisiatif diambil sebelum ini bagi menceriakan kanak-kanak kurang bernasib baik.

"Sempena Bulan Komuniti tahun ini, lebih 300 restoran McDonald's menganjurkan parti hari jadi di lebih 400 rumah kebajikan kanak-kanak.

"Manakala, 25 rumah kebajikan terpilih menerima sumbangan barangan keperluan bilik tidur seperti tilam, bantal dan cadar baru bagi menggantikan yang lama.

"Bagi menjayakannya, RMHC bekerjasama dengan McDonald's dan Harian Metro bagi menyantuni golongan kurang bernasib baik dan menjamu mereka dengan pelbagai hidangan enak dari restoran," katanya.

Selepas menyempurnakan majlis yang turut menyaksikan penyampaian sumbangan Kotak Rezeki TKHM berupa barangan keperluan asas kepada Setiausaha Pertubuhan Perlindungan Kanak-Kanak Pulau Pinang, Magdalene Leong.

Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek TKHM, Husain Jahit yang turut hadir berbesar hati kerana dapat menjalin kerjasama dengan McDonald's dan RMHC menjayakan program berkenaan.

"Kali ini, kita sekali lagi bekerjasama dengan McDonald's dan RMHC bagi meraikan kanak-kanak kurang bernasib baik di sini dan menyambut ulang tahun kelahiran penghuni.

"Kebiasaannya, kita beri kelengkapan bilik tidur seperti katil dan almari sekali, tetapi tidak pada kali ini memandangkan penghuni di sini akan berpindah ke lokasi lain dalam masa terdekat.

"Jadi, kita serahkan wang tunai sebagai ganti dan program di Pulau Pinang ini adalah siri terakhir bersama McDonald's dan RMHC pada tahun ini, tetapi TKHM diteruskan di beberapa tempat lagi bersama rakan penaja lain," katanya.

Sementara itu, Magdalene berbesar hati menerima kesudian McDonald's, RMHC dan Harian Metro dalam menganjurkan program yang memberi keceriaan kepada penghuni di bawah jagaannya.

"Ini program pertama diadakan di sini selepas hampir dua tahun pandemik Covid-19 melanda negara.

"Jujurnya, saya sangat teruja apatah lagi penghuni apabila dapat tahu rumah kebajikan kami terpilih sebagai salah satu lokasi program.

"Terima kasih juga di atas sumbangan diberi kerana ia serba sedikit meringankan beban memandangkan rumah kebajikan ini bergantung sepenuhnya dengan dana ihsan orang awam diperoleh menerusi hebahan di laman sosial bagi menampung kos perbelanjaan 15 penghuni perempuan dan 10 lelaki yang datang daripada keluarga miskin, bermasalah dan kurang berkemampuan," katanya.

McDonald's bersama RMHC menyumbang RM250,000 bagi menggantikan tilam dan bantal di 25 rumah anak yatim terpilih bagi membolehkan penghuni rumah berkenaan menikmati keselesaan dengan kelengkapan bilik tidur baru.

'Terima kasih gembirakan kami'

Penganjuran Program Bulan Komuniti McDonald's dan Ronald McDonald House Charities

(RMHC) Bersama Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) menceriakan 25 penghuni Pertubuhan Perlindungan Kanak-Kanak Pulau Pinang di sini selepas hampir dua tahun tidak menerima kunjungan pihak luar dalam usaha membendung penularan Covid-19.

Penghuni, G Thisharenih, 14, antara yang teruja apabila diberitahu pihak pengurusan mengenai penganjuran program di rumah kebajikan didiaminya sejak lebih setahun lalu.

Tisharenih berkata, bukan hanya dirinya, malah rakan penghuni lain turut menghitung hari menanti kedatangan wakil McDonald's, RMHC dan Harian Metro.

"Selain mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian, saya dan rakan penghuni lain hanya luangkan masa sesama kami saja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

"Antara aktiviti dilakukan adalah bermain dan masak bersama bagi menghilangkan bosan.

"Terima kasih sangat kerana menaja dan memberi peluang kami bergembira dengan menganjurkan program ini.

"Saya sangat seronok kerana sudah lama juga tidak menikmati hidangan McDonald's," katanya yang ditemui selepas program berakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 1:39 PM