GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Berang isteri mengajak ke mahkamah syariah untuk memfailkan perceraian menyebabkan seorang lelaki menendang peha dan pinggang mangsa di kediaman keluarga suspek di Taman Uda Ampang, di sini, semalam.

Difahamkan mangsa bekerja sebagai guru tadika berusia 30 tahun meminta suaminya menceraikannya sejak Mei lalu akibat masalah kewangan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa pada mulanya ke rumah ibu mentuanya pada jam 10.30 pagi untuk bertemu dengan suspek berusia 29 tahun.

Menurutnya, tujuan mangsa ke rumah mentuanya untuk mengajak suami ke mahkamah bagi tujuan perceraian.

"Suspek naik berang dan tendang di peha serta pinggang mangsa sebanyak dua kali.

"Akibat kejadian itu, dia mendapatkan rawatan di Hospital Ampang dan disahkan mengalami kecederaan tisu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata, susulan itu, polis menahan suspek pada jam 6.20 petang sebelum dibawa ke Mahkamah Ampang untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

"Suspek bekerja sebagai jurujual dan sudah berkahwin selama dua tahun serta mempunyai seorang anak lelaki berusia lapan bulan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT) kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.

"Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 12:01 PM