SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Raja Lumu Pekan Kuala Selangor, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Raja Lumu Pekan Kuala Selangor, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan dukacita apabila membaca komen keterlaluan dalam kalangan netizen di media sosial.

Titah baginda, komen keterlaluan itu mengeluarkan ayat berunsur fitnah, cacian dan hasad dengki.

Sultan Sharafuddin bertitah, lebih mengecewakan apabila ayat cercaan dan penghinaan disokong netizen lain tanpa usul periksa.

"Perbuatan ini jika tidak dibendung dan ditangani dengan bijak dari semasa ke semasa dikhuatiri merosakkan pemikiran masyarakat khususnya generasi muda.

"Sejak kebelakangan ini, kemunculan gejala fitnah dan berita palsu semakin berleluasa dan menyebabkan ketegangan antara kumpulan tertentu dalam masyarakat.

"Beta tidak mahu gejala seumpama ini terus menular sehingga boleh menjejaskan keharmonian rakyat dan kekuatan perpaduan pada masa jangka masa panjang," titah baginda.

Baginda bertitah pada Majlis Perasmian Masjid Raja Lumu Pekan Kuala Selangor, di sini, hari ini.

Turut berangkat, Raja Muda Tengku Amir Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Baginda bertitah, perbalahan dan pertelingkahan secara terbuka dan tabiat 'baling batu sembunyi tangan' sesama kaum Melayu hanya melemahkan dan mengakibatkan perpecahan yang merugikan bangsa dan agama.

"Perpaduan dalam kalangan kaum Melayu amat penting dan perlu dipelihara demi masa depan serta generasi pada masa depan.

"Perpaduan adalah asas kepada pembangunan sesebuah negara dan umat yang berpecah akan membawa kehancuran," titah baginda.

Baginda juga menegaskan kaum Melayu beragama Islam perlu sentiasa merujuk kepada ajaran agama dalam setiap tindak-tanduk dan kehidupan harian.

"Nilai murni perlu diterapkan seperti bersikap jujur dan ikhlas serta mempunyai sifat berbaik sangka, tolong menolong, bersatu-padu, bertolak ansur dan sentiasa memaafkan antara satu sama lain.

"Beta mahu rakyat di negeri Selangor hidup dalam keadaan selesa, harmoni dan menikmati kekayaan negeri secara adil dan saksama," titah baginda.

Baginda turut menekankan supaya kaum Melayu terus merapatkan saf, melupakan sengketa dan perselisihan faham dan mula memikirkan untuk bangkit semula menjadi bangsa kuat, bermaruah dan bermatlamat demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

"Beta yakin, jika orang Melayu bersatu dan bekerjasama dengan erat, tiada cabaran yang tidak dapat kita atasi dan orang Melayu pasti akan mencapai kejayaan semula dan menjadi satu bangsa kuat dan bermaruah," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 12:38 AM