KENYATAAN yang dikeluarkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. FOTO Ihsan FB Royal Selangor Office
KENYATAAN yang dikeluarkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. FOTO Ihsan FB Royal Selangor Office
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya rakyat terutama pemimpin politik agar segera memberhentikan perbuatan mengeluarkan fatwa secara tidak bertanggungjawab demi memelihara perpaduan rakyat di negara ini.

Sultan Sharafuddin yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam Malaysia bertitah, baginda tidak sanggup melihat rakyat berpecah-belah oleh tindak-tanduk sesetengah pemimpin politik yang tidak bertanggungjawab.

Baginda bertitah, ingatan ini tidak bermaksud baginda menyebelahi mana-mana pihak atau golongan mana-mana parti politik.

"Malah, Beta memilih mengeluarkan kenyataan ini selepas pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil selesai bagi mengelakkan kenyataan Beta disalahertikan sebagai memihak sesuatu kumpulan politik.

"Beta menyeru agar janganlah agama diperalatkan bagi meraih sokongan kerana rakyat akan menjadi mangsa kepada perbalahan orang politik yang menunggang agama demi kepentingan diri.

"Beta juga menyeru kepada pihak polis agar mengambil tindakan yang pro aktif dalam menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang membangkitkan isu sensitif yang membabitkan agama, kaum dan kedudukan Raja-Raja Melayu supaya menjadi satu pengajaran dan ketakutan kepada mereka yang berhasrat melakukan perkara yang sama di masa hadapan," titah baginda dalam kenyataan di sini, hari ini.

Baginda menegaskan, fatwa hanya boleh dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri atau mufti setelah mendapat perkenan dari Raja bagi setiap negeri yang mengeluarkan sesuatu Fatwa itu.

"Di samping itu Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan di bawah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) juga bertanggungjawab di dalam mengeluarkan pandangan hukum setelah perbincangan dengan Mufti-mufti dari setiap negeri diadakan dan setelah mendapat perkenan dari Majlis Raja-raja.

"Selanjutnya pandangan hukum berkenaan diangkat untuk pertimbangan setiap Jawatankuasa Fatwa Negeri dan mendapat perkenan Raja bagi sesebuah Negeri untuk difatwakan.

"Sesuatu fatwa yang dikeluarkan bukan semata-mata atas dasar pandangan individu seorang mufti sahaja, bahkan ia dibuat secara kesepakatan majoriti ahli sama ada di dalam Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan MKI dan/atau Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri yang terdiri daripada alim ulama' dan mereka yang pakar dalam bidang masing-masing.

"Ini bagi memastikan fatwa yang dikeluarkan adalah tepat dan membawa kebaikan kepada umat Islam dan seluruh rakyat," katanya.

Sebaliknya titah baginda, sekiranya fatwa dibenarkan untuk dikeluarkan oleh orang politik dan pemimpin politik ia akan pasti mencetuskan perbalahan, perpecahan, keganasan di dalam masyarakat yang akhirnya meranapkan tamadun sesuatu bangsa.

Dalam pada itu, baginda bertitah, pemimpin politik tidak seharusnya lupa perpaduan adalah teras kepada kejayaan sesebuah negara dalam usaha mereka memperoleh kuasa dan kedudukan.

"Negara akan mundur dalam segala aspek kehidupan sekiranya pemimpin politik cenderung kepada memupuk polarisasi kaum dan mengapi-apikan perasaan rakyat atas nama bangsa dan agama.

"Rakyat yang terpengaruh dengan hasutan sesetengah pemimpin yang mempromosikan politik perkauman dan keagamaan akan berpotensi mencetuskan perasaan curiga, perbalahan, perselisihan dan perpecahan.

"Polarisasi melampau akan membawa kepada implikasi melahirkan unsur radikalisme dan ekstremisme di dalam masyarakat sehingga boleh mengancam keselamatan negara.

"Pemimpin dan orang politik seharusnya memupuk semangat perpaduan yang tinggi dalam pelbagai kaum oleh kerana semua kaum memainkan peranan penting dalam pembangunan budaya dan ekonomi negara," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2023 @ 6:25 PM