KESAN banjir puing di Kampung Iboi. FOTO Noorazura Abdul Rahman
KESAN banjir puing di Kampung Iboi. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Baling: Penduduk Kampung Iboi di sini, meminta anggota penyelamat ditempatkan di kawasan itu sebagai langkah keselamatan sekiranya bencana banjir lumpur dan aliran puing melanda pada musim tengkujuh.

Kebanyakan penduduk yang masih trauma sejak kejadian 4 Julai lalu, berharap pihak berkuasa dapat terus memantau dan bersedia di kampung itu agar bantuan tiba lebih cepat.

Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung (JPKK) Iboi, Nor Mohamad Hussain, berkata beberapa rumah yang masih didiami di kampung itu kini sudah tidak selamat kerana berada terlalu hampir dan sama paras dengan Sungai Kupang.

"Sekurang-kurangnya ada lima rumah tidak selamat diduduki, penghuni rumah ini sangat trauma dan mereka berharap kerajaan dapat membina rumah baharu untuk mereka di tanah mereka sendiri atau tempat lebih tinggi.

"Saya turut berpendapat agar anggota penyelamat dapat ditempatkan di sini supaya penduduk rasa lebih mudah meminta bantuan sekiranya berlaku kejadian banjir lagi.

"Sebelum ini, banjir berlaku pada waktu petang dan penduduk masih dapat melihat dan memberikan pertolongan. Sekiranya berlaku pada waktu malam, kami bimbang lebih banyak nyawa mungkin terkorban," katanya ketika ditemui.

Nor Mohamad juga berharap, suara mereka didengari pemimpin atasan dan sesi dialog diadakan bagi meredakan suasana.

"Beberapa titi kecil yang hanyut sebelum ini masih belum dibina, majoriti penduduk di sini adalah petani dan penoreh getah, mereka tidak dapat mengusahakan kebun atau tanaman sehingga kini.

Seorang penduduk, Asri Balkis, 48, dalam kejadian sebelum ini, mereka terpaksa memberanikan diri menyelamatkan penduduk yang dihanyutkan arus deras berikutan pihak penyelamat lambat tiba.

"Kami faham kejadian itu adalah bencana di luar jangkaan, namun berdasarkan pengalaman beberapa siri banjir selepas itu, penduduk terpaksa memberanikan diri menyelamatkan mangsa yang hanyut.

"Kami hanya menggunakan tali dan cuba menyelamatkan mangsa dihanyutkan arus deras yang tersangkut di pokok dan sebagainya, sekiranya hendak tunggu penyelamat mungkin nyawa akan melayang.

Bapa kepada lima orang anak ini berkata sebuah pondok mungkin boleh didirikan bagi menempatkan anggota sukarelawan atau anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan kelengkapan bot, jaket keselamatan, tali dan alat komunikasi supaya mudah berhubung mendapatkan bantuan.

Dalam kejadian banjir puing 4 Julai lalu, tiga nyawa terkorban dan 15 rumah musnah serta 800 lagi turut terjejas dengan bantuan daripada pelbagai pihak disalurkan untuk mangsa di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 4:28 PM