Noorazura Abdul Rahman


Baling: Hari ini genap setahun kejadian banjir puing di Kampung Iboi yang memusnahkan 17 buah rumah sekelip mata selain turut meragut tiga nyawa termasuk wanita hamil empat bulan.

Ia sudah pasti meninggalkan pelbagai kesan kepada mangsa yang tinggal sehelai sepinggang apatah lagi kehilangan insan tersayang.

Bagi Abdul Rahman Said, 72, atau lebih dikenali sebagai Awang, dia meniti kehidupan dengan penuh rasa keinsafan selepas kehilangan isteri, anak dan juga menantu yang hamil.

Katanya, terlalu banyak kenangan bersama isteri tercinta tidak mungkin dapat dipadam dalam ingatannya walaupun tapak rumah yang musnah kini menjadi seperti pantai berpasir.

"Sudah setahun tragedi itu berlalu, saya bersyukur masih diberi kesempatan oleh Allah untuk hidup pada usia ini, saya kini mencari ketenangan dengan dekatkan diri dengan Allah.

"Saya reda dengan apa yang berlaku, kerajaan sudah beri bantuan rumah dan kami sudah pindah minggu lalu," katanya yang kini tinggal di Desa KEDA Kampung Sadek di sini.

Awang berkata penduduk kini masih memerlukan bantuan kerajaan terutama bantuan pertanian untuk mengusahakan semula tanaman mereka yang musnah dalam banjir puing tahun lalu.

JAMBATAN runtuh mengakibatkan penduduk terjejas di Kampung Iboi dan Kampung Padang Empang, Baling. FOTO Ahmad Mukhsein Mukhtar.
JAMBATAN runtuh mengakibatkan penduduk terjejas di Kampung Iboi dan Kampung Padang Empang, Baling. FOTO Ahmad Mukhsein Mukhtar.

"Saya harap agensi berkaitan akan turun padang untuk melihat kembali bantuan pertanian yang kami perlukan untuk meneruskan kelangsungan hidup," katanya.

Seorang lagi mangsa, Md Deris Jusoh, 64, berkata kejadian petang itu masih bermain di fikirannya apabila melihat sendiri air sungai yang luar biasa sepanjang 30 tahun tinggal di Kampung Iboi.

Katanya, kepala air yang deras turut menghanyutkan kayu balak dan terus menghentam rumahnya.

"Mujur saya, isteri dan anak-anak sempat selamatkan diri, sekiranya kejadian itu berlaku pada waktu malam, mungkin saya sekeluarga akan terkorban," katanya.

Bagi, Ahmad Lateh, 73, kejadian itu masih meninggalkan kesan trauma pada dirinya walaupun sudah setahun ia berlalu.

Bagaimanapun katanya, kesan trauma itu dapat diredakan dengan kesabaran dan sentiasa mengingati Allah.

"Saya bersyukur kepada kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) serta orang ramai banyak membantu. Cuma saya berdoa kejadian ini tidak berulang lagi," katanya yang juga pesara tentera yang tidak berpencen.

Mangsa, Nor Azlan Aziz, 38, berkata dia rasa bersyukur diberikan rumah baharu selepas kehilangan rumah dalam kejadian banjir puing tahun lalu.

"Ketika kejadian saya dan isteri serta anak-anak tiada di rumah namun siapa yang tak sedih kehilangan rumah, sekarang ini saya perlu fikir untuk besarkan lima orang anak saya.

"Perjalanan saya masih jauh, jika hendak harapkan kami bina sendiri rumah, mungkin saya tak mampu, saya rasa bersyukur ada rumah yang kerajaan sediakan, "katanya yang bekerja sebagai juru kimpal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2023 @ 11:43 AM