Asri menunjukkan tanda paras air yang melimpah ke dalam rumahnya di Kampung Iboi dalam kejadian banjir pada 4 Julai lalu. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Asri menunjukkan tanda paras air yang melimpah ke dalam rumahnya di Kampung Iboi dalam kejadian banjir pada 4 Julai lalu. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Oleh Noorazura Abdul Rahman


Baling: Penduduk Kampung Iboi di sini, meminta anggota penyelamat ditempatkan di kawasan itu sebagai langkah keselamatan sekiranya bencana banjir lumpur dan aliran puing melanda pada musim tengkujuh ini.

Kebanyakan penduduk yang masih trauma sejak kejadian 4 Julai lalu, berharap pihak berkuasa dapat terus memantau dan bersedia di kampung itu supaya bantuan tiba lebih cepat.

Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung (JPKK) Iboi, Nor Mohamad Hussain berkata beberapa rumah yang masih didiami di kampung itu kini sudah tidak selamat kerana berada terlalu hampir dan sama paras dengan Sungai Kupang.

"Sekurang-kurangnya ada lima rumah tidak selamat diduduki, penghuni rumah ini sangat trauma dan mereka berharap kerajaan dapat membina rumah baharu untuk mereka di tanah mereka sendiri atau tempat lebih tinggi.

"Pada masa sama, penduduk berpendapat anggota penyelamat dapat ditempatkan di sini supaya penduduk rasa lebih mudah meminta bantuan sekiranya berlaku kejadian banjir lagi.

"Sebelum ini, banjir berlaku pada waktu petang dan penduduk masih dapat melihat dan memberikan pertolongan. Sekiranya berlaku pada waktu malam, kami bimbang lebih banyak nyawa mungkin terkorban," katanya ketika ditemui.

Nor Mohamad juga berharap, suara penduduk kampung itu dapat didengari pimpinan atasan dan sesi dialog diadakan bagi meredakan suasana.

Sungai Kupang di Kampung Iboi yang sudah beralih hingga memasuki kawasan yang asalnya daratan. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Sungai Kupang di Kampung Iboi yang sudah beralih hingga memasuki kawasan yang asalnya daratan. FOTO Noorazura Abdul Rahman

"Beberapa titi kecil yang hanyut sebelum ini masih belum nampak usaha untuk dibina baharu, majoriti penduduk di sini adalah petani dan penoreh getah, mereka tidak dapat mengusahakan kebun atau tanaman sehingga kini.

"Mereka ada perut yang perlu diisi setiap hari, sampai bila hanya hendak mengharapkan bantuan sedangkan mereka ada kebun yang mempunyai hasil, tapi tidak boleh berbuat apa-apa," katanya.

Bagi penduduk, Asri Balkis, 48, pula berkata dalam kejadian sebelum ini, mereka terpaksa memberanikan diri menyelamatkan penduduk yang dihanyutkan arus deras berikutan pihak penyelamat lambat tiba.

"Kami faham kejadian pada 4 Julai lalu, adalah bencana di luar jangkaan, namun berdasarkan pengalaman beberapa siri banjir selepas itu, penduduk terpaksa memberanikan diri menyelamatkan mangsa yang hanyut.

"Kami hanya menggunakan tali dan cuba menyelamatkan mangsa dihanyutkan arus deras yang tersangkut di pokok dan sebagainya, sekiranya hendak tunggu penyelamat mungkin nyawa akan melayang.

"Tidak semua yang menjadi 'hero' sebelum ini mahu menampilkan diri dan bercakap kepada media, namun apa yang berlaku sebelum ini perlu dijadikan pengajaran kepada semua," katanya ketika ditemui.

Bapa kepada lima orang anak ini berkata sebuah pondok mungkin boleh didirikan bagi menempatkan anggota sukarelawan atau anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan kelengkapan bot, jaket keselamatan, tali dan alat komunikasi supaya mudah berhubung mendapatkan bantuan.

Pada kejadian banjir puing 4 Julai lalu, tiga nyawa terkorban dan 15 rumah musnah serta 800 lagi turut terjejas.

#kw Kampung Iboi, banjir, penyelamat, APM, tengkujuh, Baling

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 4:41 PM