Noorazura Abdul Rahman


Baling: "Saya lihat air sudah naik hampir satu meter di rumah majikan, saya terus (segera) pergi selamatkan mereka," kata Sopian Mohd Aziz, 53.

Sopian berkata ketika kejadian kira-kira jam 5 petang itu, arus terlalu deras dan menyebabkan dia segera menjerit meminta penghuni di dalam rumah majikannya keluar.

"Saya nampak isteri majikan, Sapiah Abdullah, 65, baru selesai solat Asar manakala anak dan seorang cucu mereka sedang berjalan keluar dari rumah.

"Saya bantu mereka keluar dengan selamat ke kawasan lebih tinggi. Tidak lama kemudian saya terus ke belakang rumah majikan untuk menyelamatkan mangsa dari rumah lain.

"Namun saya tak terdaya apabila melihat semua rumah berhampiran Sungai Lata Celak sudah hilang dihanyutkan arus deras," katanya ketika ditemui di Kampung Iboi, Kupang di sini.

Sopian yang bekerja sebagai pemandu lori berkata dia tidak mampu berbuat apa-apa selain menyaksikan kayu hanyut menghentam kedai dan rumah majikannya.

Katanya, hanya dalam beberapa minit air mula naik hingga lebih satu meter dan surut selepas sejam kemudian.

"Perasaan itu saya tidak dapat gambarkan, kami penduduk di sini masih trauma menyaksikan kejadian kepala air yang paling buruk dalam sejarah," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman Ahmad, 70, berkata dia berasa bersyukur kerana isteri, anak serta cucunya terselamat daripada dihanyutkan kepala air petang kelmarin.

Katanya, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang dari Alor Setar bersama salah seorang anaknya atas urusan kerja.

"Isteri saya diselamatkan jiran yang juga pekerja saya. Alhamdulillah mereka selamat," katanya.

Abdul Rahman berkata keluarganya gagal menyelamatkan sebarang dokumen penting serta barang berharga.

"Tiga kereta serta sebuah van juga turut dihanyutkan, perabot di dalam rumah dan barang-barang di kedai runcit saya juga rosak," katanya.

Abdul Rahman memberitahu kejadian kepala air kali ini paling terburuk dalam sejarah hidupnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 12:49 PM